Ini kerana tangkapan di bawah Sosma membawa stigma yang berat dan memberi kesan pada masa depan individu yang ditangkap.
“Memang tiada tangkapan dibuat tanpa sebab, tetapi ada juga yang menjadi mangsa keadaaan,” kata peguam Nik Zarith Nik Mustapha, yang mengendalikan beberapa kes melibatkan akta itu.
“Kalau mencuri misalnya, semua orang tahu ia adalah satu kesalahan. Tetapi ada yang memuat turun gambar atau video yang dikongsi tanpa mengetahui ia berkaitan IS dan boleh ditangkap,” jelasnya.
“Sekurang-kurangnya beri peringatan dahulu.”
Nik Zarith memahami keperluan undang-undang khusus itu, namun semak dan imbang pelaksanaannya perlu ditekankan agar tidak menggadaikan hak asasi mereka yang ditahan.
“Justeru kena pastikan tangkapan mempunyai sebab yang kuat dan benar-benar berkait dengan kes Sosma,” tambahnya.
Dalam usaha membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, kerajaan menggubal Sosma yang memperuntukkan langkah-langkah khas dengan tujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan.
Antara langkah khas yang diperuntukkan termasuk penangkapan dan penanahan mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa memerlukan waran, dan memasangkan peranti pengawasan elektronik pada tertuduh yang dilepaskan.
Ia merupakan salah satu daripada beberapa undang-undang yang digubal untuk memerangi bahaya kepada negara termasuk ancaman pengganas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini memberi amaran polis sedang memantau media IS berbahasa Melayu, Al-Fatihin, dan mereka yang mereka memuat turun bahan darinya dan membaca bahannya.
Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli berkata ada individu yang ditahan di bawah akta itu tidak faham pentingnya melantik peguam sejak dari awal.
Beliau memberitahu FMT dalam kes dakwaan di bawah Sosma, suspek perlu membuat keterangan sebelum perbicaraan dimulakan di mahkamah.
“Ada yang melantik peguam hanya selepas membuat keterangan tersebut. Walhal kehadiran peguam ketika itu sangat penting untuk membantunya merangka keterangan. Sebenarnya ini boleh menentukan suspek bersalah atau tidak.
“Keterangan tersebut akan digunakan mahkamah dan mungkin perkataan-perkataan yang digunakan suspek boleh dipakai untuk mensabitkannya tanpa dia sedari,” jelasnya.
