Perancis cadang mansuhkan pembiayaan asing bagi masjid

Perancis cadang mansuhkan pembiayaan asing bagi masjid

Selain halangan pembiayaan dari luar negara turut dicadang, supaya imam Perancis dilatih secara tempatan dan bukan di luar.

masjiid
PARIS:
Perdana Menteri Perancis tampil dengan usul untuk menghalang pembiayaan asing bagi masjid-masjid di negara itu.

Cadangan ini dibawa oleh Manuel Valls ketika Perancis melalui situasi getir ekoran beberapa insiden keganasan.

Selain halangan pembiayaan pembinaan masjid dari luar negara turut dicadang, supaya imam Perancis dilatih secara tempatan dan bukan di luar.

Valls berkata, Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve juga sedang mengusahakan sebuah model baharu demi hubungan lancar Perancis – Islam dengan menghalang langsung kemasukan pengikut fahaman Salafi (Wahabi) daripada meyusup ke dalam Perancis.

Cadangan beliau dialu-alukan oleh parti konservatif, Les Républicains, parti pembangkang utama Perancis.

Saranan ini masih didebat oleh institusi Islam Perancis yang masih di bawah pengaruh asing.

Sebagai sebuah negara yang berpegang kuat kepada fahaman sekular dan merupakan rumah kepada penduduk Islam terbesar di Eropah dengan lebih 2,300 masjid, sebahagian daripada masjidnya dibiayai Arab Saudi dan negara Teluk yang lain atau negara-negara Afrika Utara.

Menurut laporan, dua per tiga daripada serangan keganasan di Perancis dilakukan oleh penjihad tempatan sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih ramai jemaah Islam mungkin terdedah kepada Islam radikal yang dibawa dari luar negara.

Pensyarah Sains dan penulis jurnal tentang serangan balas radikalisme, Pierre Conesa berkata semua pengganas yang bertindak atas nama Islam Salafi disifatkannya sebagai “paling rasis, bermazhab, homophobic, anti-Semitik dan penuh kebencian”.

Jelasnya, Perancis melakukan kesilapan dengan membenarkan Salafisme berkembang maju di tanahnya.

“Mereka memulakan asas keganasan apabila membenarkan ideologi anti-republikan disebarkan di wilayah mereka, terutamanya melalui imam-imam Salafi yang dibiaya oleh Arab Saudi,” katanya kepada FRANCE 24 selepas insiden pembunuhan seorang paderi Perancis oleh militan mendakwa setia kepada kumpulan Negara Islam (IS).

Namun, kini usaha mengawasi tempat-tempat ibadat Islam melalui penubuhan “Islam de France” didapati berkonflik dengan peraturan sekular Perancis, terutamanya undang-undang 1905 di mana institusi agama dilarang menggunakan dana negeri untuk pembinaan rumah ibadat.

Awal bulan ini, jawatankuasa Senat menerbitkan laporan mengenai Islam di Perancis dengan mengkritik kekaburan undang-undnag yang wujud terhadap polisi Islam.

“Dalam satu sudut ada niat untuk mengawal Islam, pada masa yang sama Islam tidak boleh disentuh kerana undang-undang 1905. Ia seolah tidak dapat diselesaikan,” petik kata laporan itu.

Ia juga menyentuh kelemahan Perancis melatih imamnya menggunakan konteks tempatan. Di Perancis hanya terdapat dua pusat yang layak melatih imam manakala sekitar 300 imam dibawa dari luar negara, termasuk mereka yang tanpa kemahiran berbahasa Perancis.

Tinjauan mendapati terdapat kira-kira 4 hingga 5 juta penduduk beragama Islam namun usaha untuk mendapatkan latar yang lebih teliti terhalang kerana Perancis mengharamkah statistik berdasarkan kriteria agama, etnik atau kaum.

Laporan itu juga memperincikan pelaburan asing untuk pertubuhan Islam Perancis dengan Maghribi memperuntukkan € 6juta (RM27 juta), Algeria €2 juta (RM9 juta) (tidak termasuk gaji kepada imam) pada 2016, dan Arab Saudi menyumbang € 3.8 juta (RM 17.1 juta) sejak tahun 2011.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pembiayaan datang dari Perancis sendiri, terutamanya melalui sumbangan individu.

Maka, halangan pembiayaan asing disifatkan ‘tidak masuk akal’.

Pakar perundangan menyatakan adalah haram bagi negara Perancis mencampuri urusan pembiayaan asing memandangkan kerajaan tidak boleh membiayai pembinaan masjid susulan undang-undang 1905 dan para jemaah pula tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan.

“Penyelesaiannya ialah bukan dengan menghalang pembiayaan asing tetapi untuk menjadikannya lebih telus dan bersyarat”, kata salah seorang pengarang laporan itu, Senator Nathalie Goulet.

Jawatankuasa senator memutuskan, cara terbaik memantau dana asing adalah dengan memastikan semua transit melalui Yayasan des oeuvres de l’Islam (Yayasan Kerja untuk Islam) dengan syarat ia berfungsi dengan betul, yang mana satu lagi isu.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, yayasan itu dibelenggu masalah antara beberapa kumpulan Islam yang mempertikai urustadbirnya.

Pertelingkahan yang sama menimpa yang Conseil français du culte musulman (CFCM), organisasi utama kumpulan Islam, yang sekali gus menjejaskan kualitinya di mata orang Islam.

Masalah yang menimpa kedua-dua institusi ini menjadi halangan kepada penubuhan Islam de France.

Tags: Bahasa, Islam, Perancis, radikal, keganasan, serangan, halang, pembiayaan, asing, Arab, negara Teluk

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.