Waspada ancaman penyerang solo IS ‘berjihad’ di Malaysia

maszlee-malik-isis-malaysia1

KUALA LUMPUR: Pakar memberi amaran kepada kerajaan dan rakyat Malaysia tentang bahaya serta ancaman penyerang solo yang menjalani radikalisasi kendiri, susulan cara terbaru kumpulan pengganas IS menyebarkan propaganda mereka melalui Internet.

Menurut mereka, rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan IS menyeru rakan senegara berjuang bersama kumpulan itu, selepas ia mengiktiraf kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina sebagai sebahagian daripada anggota “khalifah” Negara Islam.

Penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, IS kini menggalakkan penyokong mereka “berjihad” di negara masing-masing, tanpa perlu membentuk sebarang pertubuhan.

Beliau merujuk video menggerunkan selama 21 minit yang dimuat naik ke media sosial pada 23 Jun lalu menyeru rakyat Malaysia menyertai saudara mereka di Filipina yang diamanahkan IS menerajui “tentera khalifah” itu.

Video itu menunjukkan rakyat Malaysia, Mohd Rafi Udin yang dikenali sebagai Abu Aun al-Malysi menyeru mereka yang bersimpati dengan IS, tetapi tidak dapat ke Mindanao supaya melancarkan “jihad” secara bersendirian di bumi Malaysia menggunakan apa jua cara yang mereka mampu.

Mohd Rafi berkata, mereka yang melafazkan sumpah taat setia kepada gerakan “khalifah’ itu, walaupun hanya di dalam hati perlu membunuh semua pihak yang menentang mereka, tanpa mengira tempat dan dengan apa jua cara sekali pun.

“Bunuhlah mereka di mana saja kalian ketemu mereka. Kalian punya kenderaan, langgarlah mereka. Kalian punya senjata atau hanya pisau kecil, tikamlah dada mereka. Jangan kalian takut,” kata Mohd Rafi dalam video itu.

Menurut Maszlee, apa yang jelas daripada video itu ialah IS menggalakkan penggunaan kaedah baharu untuk melakukan kemusnahan – serangan solo.

“Serangan solo dilakukan individu yang menjalani radikalisasi kendiri dan bersimpati dengan IS. Mereka sanggup melakukan serangan secara bersendirian dan menganggapnya sebagai ‘jihad’.

“Inilah yang berlaku di Puchong. Seruan Rafi Udin itu jelas merupakan suatu perintah daripadanya kepada penyerang solo.

“Ia bukan serangan yang diatur atau dirancang dengan kemas. Beberapa individu yang bersimpati dengan kumpulan itu menyahut seruan tersebut untuk melancarkan serangan secara bersendirian,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, lapan pengunjung cedera apabila sebutir bom tangan meletup di sebuah pusat hiburan di Puchong. Polis kemudiannya mengesahkan letupan itu adalah serangan pertama IS di Malaysia.

Ketika menyuarakan kebimbangan sama, pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata, propaganda IS merupakan “lakonan kelas satu” yang mampu menagih simpati orang ramai terhadap kumpulan itu.

Menurut beliau, ikrar taat setia kumpulan Abu Sayyaf terhadap IS akan mendorong mereka yang bersimpati dengan IS menyertai kumpulan itu.

“Tanpa perlu pergi ke Syria atau Iraq, sekarang mereka boleh pergi ke selatan Filipina dan berjuang di samping Abu Sayyaf. Ini memberi tekanan secara langsung kepada negara kita kerana radikalisasi boleh berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Azmi berkata, penggabungan itu juga bermakna Abu Sayyaf akan mendapat bantuan dalam bentuk wang dan kepakaran daripada IS.

Walaupun tidak pasti sama ada Abu Sayyaf sudah menerima bantuan itu, tetapi katanya, hubungan itu adalah sesuatu yang amat berbahaya bagi Malaysia dan rantau ini.