Sanjeevan ditahan lagi

sanjeveen

PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan ditahan lagi, kali ini atas dakwaan memeras ugut seorang pemilik pusat perjudian.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, SAC Roslee Chik dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan penahanan itu dan berkata, Sanjeevan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Terdapat 20 kertas siasatan dibuka ke atas suspek. Dia akan dihadapkan ke mahkamah di Temerloh esok mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan),” katanya.

Terdahulu, Sanjeevan menerusi Twitternya memaklumkan cara polis menahannya seperti seorang suspek pengganas IS.

“Tidak kira macam mana pun, saya akan terus berjuang.”

Peguam Sanjeevan, S Preakas ketika dihubungi FMT berkata, beliau menerima panggilan daripada isteri anak guamnya kira-kira jam 4.30 petang tadi bagi memaklumkan penahanan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang butiran lanjut dan sedang menunggu maklumat selanjutnya sebelum pergi ke balai polis.

“Polis tidak memberitahu apa-apa kepada kami. Jadi, kami masih menunggu pengesahan tetapi isterinya berada di balai sekarang,” katanya.

Ini adalah kali kelapan Sanjeevan ditahan polis dalam tempoh dua bulan atas pelbagai kesalahan.

Sanjeevan, 32, pertama kali ditahan pada 22 Jun lalu bersama pemandunya dekat Plaza Tol Nilai, susulan satu aduan pemilik perjudian haram yang mendakwa mendapat panggilan meminta wang “perlindungan” sebanyak RM25,000.

Sanjeevan didakwa mengugut akan mendedahkan perniagaan haram itu di Facebook, media atau polis, jika pengadu terbabit gagal membayar wang perlindungan itu.

Pada 10 Julai lalu, Sanjeevan ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), kerana dipercayai melakukan ugutan jenayah dan peras ugut.

Bagaimanapun, Sanjeevan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengambil pekerja asing haram dan pemerasan, pada 19 Julai lalu.

Dia kemudiannya dibebaskan pada 26 Julai lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan tahanan reman ke atasnya batal dan tidak sah, kerana prosedur penahanannya tidak mematuhi peraturan dengan tepat.