Matthias dan Husam saman Red Granite, Riza

Matthias-Chang-husam-musa-riza-Red-Granite-Pictures-1

PETALING JAYA: Satu lagi tuntutan saman difailkan di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat oleh Matthias Chang dan Datuk Husam Musa terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz iaitu anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat filemnya Red Granite Pictures, Jho Low dan bank Goldman Sachs berhubung wang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad.

Tuntutan saman itu dibuat bagi memohon ganti rugi atas kecurian wang daripada 1MDB dan mendapatkan semula hartanah dan aset lain yang dibeli menggunakan wang curi itu.

Matthias, seorang peguam yang juga bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Husam, bekas naib presiden PAS yang dipecat daripada parti Islam berkenaan pada Mei memfailkan saman itu di Mahkamah Daerah AS di New York pada Selasa, menurut The Hollywood Reporter.

Pihak yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Red Granite Pictures yang menerbitkan filem Wolf of Wall Street; syarikat yang diasaskan bersama Christopher Joey McFarland; Riza dan Jho Low, ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikatakan kawan kepada Riza.

Bank pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar daripada 1MDB. Timothy didakwa mengambil sogokan dalam bentuk komisen.

Turut dinamakan ialah pengurus perniagaan Riza, Debra Whelan Johnson dan syarikatnya. Mereka dituduh menguruskan wang Riza dengan pengetahuan ia diselewengkan.

Menurut dokumen mahkamah, Matthias dan Husam mendakwa semua defendan sedar menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi masing-masing, termasuk menganjurkan parti untuk bintang Hollywood Leonardo DiCaprio.