Anak muda harap KPN bantu jayakan himpunan #TangkapMO1

tangkapMO1KUALA LUMPUR: Gerakan Anak Muda Demi Malaysia (Demi Malaysia) berharap Ketua Polis Negara membantu memudahkan penganjuran himpunan #TangkapMO1 27 Ogos depan.

Jurucakapnya, Amir Abd Hadi berkata undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 bukan hujah untuk menghalang rakyat menunjuk perasaan, kerana hak berhimpun secara aman termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk pengetahuan Ketua Polis Negara, APA 2012 digubal khas untuk membenarkan himpunan-himpunan aman dan bukannya untuk menghalang himpunan aman,” katanya dalam sidang media di Restoran Amjal, hari ini.

Demi Malaysia merupakan perkumpulan yang terdiri daripada aktivis siswa, badan bukan kerajaan, ahli profesional dan pimpinan parti politik. Ditubuhkan tahun lepas, gerakan ini bertanggungjawab menganjurkan himpunan #TangkapNajib 1 Ogos tahun lalu.

#TangkapMO1 dirancang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tunjuk perasaan ini merupakan respon kepada inisiatif Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tuntutan sivil untuk merampas aset-aset yang “terlibat dalam atau boleh dikesan kepada komplot antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Tuntutan DoJ itu menamakan beberapa individu, termasuk seorang pegawai yang digelar Malaysian Official 1 (MO1). Demi Malaysia mahu pihak berkuasa individu berkenaan dikenalpasti, dan kemudian dihadapkan ke muka pengadilan.

Maka sidang media hari ini menyeru polis supaya bekerjasama dengan penganjur memastikan tunjuk perasaan berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

“Kita minta polis jangan buli mahasiswa,” kata Mandeep Singh Karpal Singh, seorang aktivis Demi Malaysia. “Polis harus belajar daripada himpunan Bersih 4 yang dilihat berjaya.”

“Polis harus bantu dari segi keselamatan dan sebagainya. Himpunan 27 Ogos saya yakin akan berjalan aman. Bantulah menjaga kesesakan lalu lintas,” tambahnya.

Selain ibu negara, #TangkapMO1 juga akan diadakan di Johor Bahru (13 Ogos). Menurut jurucakapnya, Anis Syafiqah Md Yusof, himpunan di Johor Bahru nanti merupakan “kempen menuju perhimpunan kemuncak” di ibu negara. Demi Malaysia turut menyusun acara ceramah di Kelantan (13 Ogos) dan Perak (20 Ogos), diikuti Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Himpunan serentak ala flash mob di seluruh negara dirancang untuk 19 Ogos nanti.

Sebelum ini, media melaporkan perkumpulan belia bergelar Gabungan #TangkapMO1″ akan mengadakan himpunan di Kota Kinabalu serentak dengan acara di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahmad Syukri Razab daripada Angkatan Muda Keadilan PKR merasa kecewa dengan sikap pimpinan politik yang “perlahan” menyokong himpunan mereka.

“Setakat ini hanya Ketua Polis Negara yang sering memberikan respon kepada hasrat himpunan ini. Justeru, Demi Malaysia menyeru semua pihak supaya lebih agresif menyokong perhimpunan #TangkapMO1 ini,” katanya.