MO1: Nawawi tersasar jauh, tapi tak perlu Akta Hasutan

Syahredzan-Johan12_nawawi-ahmad_doj_600

PETALING JAYA: Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad mendakwa Yang di-Pertuan Agong ialah Malaysian Official 1 (MO1) yang disebut Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat itu, tersasar jauh, kata peguam Syahredzan Johan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak bersetuju jika Nawawi dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan atau dikatakan melakukan kesalahan melanggar Seksyen 233 susulan kenyataan yang dikeluarkan itu dianggap sebagai menghina Agong.

Syahredzan berkata dalam tuntutan saman DoJ itu, MO1 ialah seorang pegawai, manakala Yang di-Pertuan Agong bukan bertaraf pegawai.

“Ahli Parlimen Langkawi bukan ingin katakan Yang di-Pertuan Agong adalah ‘Malaysian Official 1’ seperti yang tertera dalam saman DoJ, cuma beliau memberi pandangannya, mengikut Perlembagaan.

“Tetapi pandangan beliau itu jauh tersasar kerana mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong bukan ‘official’ (pegawai),” katanya kepada FMT.

“Saya juga membantah ahli Parlimen Langkawi dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan. Mungkin boleh kata apa yang dimuat naik beliau itu melanggar Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tetapi saya juga tidak sokong seksyen ini digunakan ke atasnya dan memang tidak menyokong Akta Hasutan dikenakan ke atas sesiapa sekalipun,” katanya.

Beliau berkata adalah lebih baik jika kenyataan Nawawi itu ditentang menggunakan hujah dan tidak perlu diambil sebarang tindakan undang-undang.
Nawawi memuat naik status di Facebook menyatakan berdasarkan Perlembagaan, Agong ialah MO1 yang bertanggungjawab terhadap kerajaan.

Selepas empat jam, beliau kemudian menyuntingnya dengan menulis MO1 bukan perdana menteri.

Dalam komennya kemudian, Nawawi berkata beliau tidak bercakap dalam konteks saman sivil DoJ, tetapi daripada segi Perlembagaan.

MO1, menurut DOJ ialah seorang pegawai awam kanan yang didakwanya menerima AS$ 731 juta dana yang disalurkan daripada 1MDB dan mempunyai kaitan dengan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata hanya orang bodoh tidak tahu siapa MO1, manakala pembangkang menuding jari kepada Najib.

Najib bagaimanapun menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam dan mendakwa tuduhan seperti itu hanya sebahagian komplot untuk menjatuhkannya.

Polis digesa tangkap Nawawi selepas mendakwa ‘MO1’ merujuk Agong