Pusat tahanan Juru nafi tahanan wanita diseksa, mati

immigration

PETALING JAYA: Dakwaan layanan kejam oleh warden di Depot Tahanan Imigresen di Juru, Pulau Pinang disifatkan tidak benar, selepas seorang wanita Kemboja mendedahkan bagaimana warga asing yang ditahan di pusat itu dipukul dan diseksa sehingga berakhir dengan kematian.

Akhbar Cambodia Daily melaporkan, penafian itu dimaklumkan kepada pegawai Kedutaan Kemboja dari Kuala Lumpur yang mengunjungi pusat tahanan itu.

“Penjara Juru menafikan tuduhan tahanan diseksa dan rakyat Kemboja mati akibat seksaan,” akhbar itu memetik kenyataan Kementerian Luar Negara Kemboja hari ini.

Semalam, Cambodia Daily melaporkan dakwaan 2 wanita Kemboja yang dihantar pulang pada Jun lalu hasil usaha pertubuhan hak asasi Central.

Salah seorang daripadanya menceritakan bagaimana tahanan ditendang dan dipukul oleh warden di pusat tahanan itu kerana tidak memahami pegawai penjara.

Katanya, dia diseksa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Melayu, tetapi menganggap dirinya bernasib baik berbanding tahanan lain.

“Yang lain, seperti tahanan Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos, diseksa teruk. Mereka ditolak dan kepala mereka ditekan ke atas dinding. Seorang pegawai bernama Ma Pon selalu menumbuk dan menendang kami,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di pusat tahanan Juru, dia menyaksikan sendiri 5 warga Kemboja dan dua warga Vietnam meninggal dunia, tiga daripadanya wanita yang tinggal bersamanya.

Susulan dakwaan itu, FMT berusaha mendapatkan reaksi Jabatan Imigresen tetapi gagal.

Awal Jun, Malaysia bersetuju membenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja sebagai pembantu rumah, selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen.

Disember tahun lepas, Malaysia dan Kemboja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menyambung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, 5 tahun selepas dibekukan Hun Sen susulan dakwaan rakyatnya diseksa.

Pautan: 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/16/dakwaan-tahanan-wanita-mati-diseksa-di-kem-imigresen-juru/