Chong Wei lunas dendam 4 tahun, Malaysia mara ke akhir

lCWRIO DE JANEIRO: Malaysia mara ke pusingan akhir perlawanan badminton perseorangan lelaki di Olimpik Rio sebentar tadi, selepas menumpaskan cabaran jaguh China, Lin Dan.

Datuk Lee Chong Wei akhirnya melunaskan dendam Malaysia dalam perlawanan 90 minit itu dengan keputusan 15-21, 21-11 dan 22-20, untuk menebus kekecewaan pada Olimpik 2012 di London.

Pencabar aspirasi negara untuk mendapatkan pingat emas bagi kategori perseorangan lelaki bakal ditentukan dalam perlawanan antara pemain China, Chen Long dan jaguh Denmark, Viktor Aleksen yang sedang berjalan semasa berita ditulis.

Di awal perlawanan pusingan pertama Chong Wei dilihat banyak melakukan kesilapan mudah sehingga memberikan peluang kepada Lin Dan untuk menang 15-21.

Chong Wei kembali garang di pusingan kedua dengan corak permainan agresif, dan mengheret seterunya ke pusingan ketiga dengan kemenangan 21-11.

Kemenangan di pusingan kedua memberi suntikan psikologi kepada Chong Wei, yang bermula dengan baik dan mendahului 2-0. Keadaan bertukar sengit sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan apabila kedua jaguh badminton itu saling kejar-mengejar, sebelum Malaysia meranapkan impian China dengan kelebihan dua mata.

Olimpik merupakan penampilan terakhir Chong Wei yang akan bersara.

Rabu lalu, impian emas beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir dalam masa 45 minit selepas tunduk 14-21, 12-21 kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di final Sukan Olimpik Rio.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa mengakui kehebatan gandingan nombor 3 dunia itu yang mahukan kemenangan pingat emas pertama Indonesia di Rio – hadiah terbaik buat ulang tahun kemerdekaan Indonesia.

Peluang Malaysia mengapai emas sulung masih terbuka apabila pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan turun berdepan pasangan China lewat tengah malam ini.