Pendidikan Islam gagal bezakan antara institusi dan agama

Pendidikan Islam gagal bezakan antara institusi dan agama

Amat penting umat Islam di negara ini didedahkan kepada tamadun lain supaya dapat memahami pengaruh politik ke atas agama.

islamic-studies-1
PETALING JAYA:
Pendidikan Islam di peringkat universiti di negara ini gagal mempromosikan semangat kewujudan bersama pelbagai kaum dan agama, menyebabkan ramai pelajar masih berfikir dari kerangka latar belakang mereka sendiri, menurut seorang ahli akademik.

Professor Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi yang mengajar jurusan arkitek dengan pengkhususan mengenai senibina Islam di Universiti UCSI, Kuala Lumpur, berkata golongan pengajar dalam jurusan pendidikan Islam juga ketinggalan zaman dan berfikiran sempit.

“Graduan tidak faham yang idea kepelbagaian menjadi bahan asas ke arah kehidupan yang lebih bermakna,” katanya kepada FMT.

Katanya sebahagian besar pendidikan madrasah di seluruh dunia diterajui guru yang mempunyai ilmu terbatas mengenai perkembangan semasa.

“Kurikulum madrasah bersifat turun-temurun merentasi zaman, lautan dan negara menggunakan buku yang dikarang sarjana yang berfikiran dalam konteks budaya sosio-politik satu kaum.”

Kurikulum seumpama itu, kata Tajuddin, tidak relevan dalam negara moden.

“Islam adalah untuk akhir zaman tetapi tafsiran sarjana bukan kekal selama-lamanya dan mengalami kegagalan berikutan perubahan teknologi, sains, sistem ekonomi dan struktur politik.”

Beliau berkata amat penting umat Islam di negara ini didedahkan kepada tamadun lain supaya dapat memahami pengaruh politik ke atas agama.

Memberi contoh, Tajuddin berkata raja Rom, Constantine dan Majlis Nicea yang dianggotai sekumpulan paderi Kristian mewujudkan satu bentuk agama Kristian yang memenuhi keperluan politik dan spiritual.

Begitu juga, perang salib di kedua-dua pihak Kristian dan Islam juga sesuatu yang lebih menjerumus politik dan bukan agama.

“Perpecahan Sunni-Syiah juga atas sebab politik dan kepuakan. Isu Palestin juga soal politik tetapi dijadikan isu agama. Perang Iran-Iraq permainan kuasa besar dan bukan pertembungan agama,” jelas Tajuddin.

Katanya, seseorang itu perlu faham yang institusi agama bukan maksum.

Katanya, ketulenan agama dicemari apabila diwujudkan mazhab dan puak.

“Apabila penguasa politik hanya mengikut satu mazhab, maka lahirlah institusi agama,” katanya.

“Ini membataskan agama kerana dikawal manusia yang tamak dan punya keinginan. Institusi agama boleh dijadikan alat menjustifikasi perbuatan bercanggah dengan Islam.”

Katanya, adalah penting pelajar sedar yang institusi agama bukan wajib diikuti, malah ia merupakan ciptaan manusia, sebaliknya agama adalah ciptaan Tuhan.

Katanya, hanya dengan mengiktiraf kepelbagaian, seseorang itu dapat merapatlkan diri kepada Allah.

“Dengan cara ini, kita dapat membendunh ekstremisme,” kata Tajuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.