Khairuddin serah video peguam negara berjoget dengan menteri

Khairuddin serah video peguam negara berjoget dengan menteri

Hakim Datuk Hanipah Farikullah akan bertemu semua pihak berkaitan permohonan semakan kehakiman difailkan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu pada 19 September.

khairuddin-ag
KUALA LUMPUR:
Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mempertikaikan pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai peguam negara, memfailkan afidavit bersama klip video peguam tertinggi negara itu sedang menari dengan beberapa menteri ketika perarakan Merdeka baru-baru ini, di mahkamah hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khairuddin berkata anak guamnya melampirkannya dalam dokumen mahkamah mendesak Apandi meletakkan jawatan.

Haniff berkata video itu, sebagai bukti baharu difailkan 2 hari lalu walaupun Mahkamah Tinggi menetapkan 19 November untuk menyampaikan keputusannya terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Khairuddin.

“Melihat kepada perkembangan terbaru ini, kami dan peguam kerajaan akan menemui hakim pada 19 September bagi pengurusan kes,” katanya.

Pada Isnin, Khairuddin dan beberapa yang lain ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk menyerahkan surat dan mendesak Apandi meletak jawatan selepas klip video menunjukkan beliau menari bersama menteri kanan menjadi viral di media sosial.

Khairuddin sebelum ini memfailkan semakan kehakiman untuk mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan jenayah berhubung 3 kertas siasatan difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut mempersoalkan arahan Apandi kepada SPRM untuk menutup siasatan dan keengganannya membantu penyiasat mengumpul bukti di luar Malaysia.

Beliau juga mencabar pelantikan Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai peguam negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Khairuddin memohon perintah mahkamah bagi suruhanjaya khas ditubuhkan untuk mengkaji dan mengenal pasti tindakan lanjut berhubung keputusan 3 kertas siasatan berkenaan.

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman yang sama dan Hanipah dijangkakan menyampaikan keputusan pada 19 November.

Pautan:

Peguam negara menari dengan menteri: Beri penjelasan atau letak jawatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.