Mufti Arab Saudi melampau kafirkan Iran, kata bekas presiden PUM

Sheikh Abdulaziz Al al-SheikhKUALA LUMPUR: Walaupun tidak berpuas hati dengan kritikan Iran berhubung soal pengurusan haji, Mufti Besar Arab Saudi Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh tidak sepatutnya mengkafirkan negara itu, kata Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (Shura) Abdul Ghani Samsudin.

Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata, dunia Islam pada masa ini sepatutnya mengamalkan ‘taqrib’ iaitu mendekatkan pihak-pihak yang bertelagah.

“Sepatutnya tidak sampai ke tahap itu. Masalahnya bila mudah mengkafirkan orang lain. Peserta Iran misalnya sentiasa menjadi juara pertandingan tilawah al-Quran, bagaimana senang-senang mengatakan mereka ‘bukan Islam’ dan Majusi?

“Jika begitu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu buat dasar baru dan singkir mereka yang dianggap bukan Islam ini,” katanya ketika merasmikan ‘Seminar Islam tanpa Sektarianisme’ anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) di Hotel Concorde, hari ini.

Berbanding menyibukkan diri dalam soal perbezaan mazhab, katanya umat Islam perlu membangkitkan masalah ekonomi dan pendidikan yang sedang dihadapi mereka.

“Jika ingin membangunkan negara, masalah pertama yang perlu diselesaikan adalah berkaitan kelaparan, kejahilan dan rasuah.

“Untuk itu, golongan Islamis dan bukan Islamis perlu mewujudkan persefahaman…memahami alam (persekitaran) yang dihuni mereka dan cabarannya,” katanya yang juga ahli Kesatuan Ulama Sedunia.

Seminar tersebut bertujuan mengupas masalah perpecahan dunia Islam terutama antara pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

Pergeseran antara Arab Saudi dan Iran – 2 negara yang tiada hubungan diplomatik secara rasmi – bukanlah perkara baru, apabila kedua-dua negara itu dilihat bersaing merebut pengaruh di rantau Timur Tengah yang sentiasa bergolak.

Ia kembali hangat selepas warga Iran tidak dibenarkan menyertai musim haji tahun ini, yang mengundang kritikan terbuka pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dengan mendakwa Arab Saudi gagal menjamin keselamatan jemaah haji.

Kritikan itu merujuk kepada tragedi rempuhan di Mina pada musim haji tahun lalu. Menurut laporan The Guardian yang memetik kiraan Associated Press, sekurang-kurangnya 2,426 nyawa terkorban dalam insiden itu.

Ekoran kritikan itu, Mufti Besar Arab Saudi Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh menyifatkannya sebagai tidak menghairankan, kerana mereka bukan Islam sebaliknya “anak Majusi”, seperti dipetik laporan BBC.

Mengulas isu itu, Presiden International Movement for A Just World (JUST) Dr Chandra Muzaffar menyifatkan Arab Saudi memanipulasikan sentimen Arab dan Parsi.

“Warga Iran paling ramai terkorban dalam insiden itu, iaitu 464 orang. Tehran meminta ia disiasat tetapi tidak dilayan oleh Arab Saudi. Malah Arab Saudi tidak membenarkan wakil kedutaan pelbagai negara untuk melawat tempat kejadian.

“Sentimen itu (serta Sunni dan Syiah) digunakan untuk menutup isu sebenar. Kritikan Khamenei tidak dijawab, tetapi disambut dengan tuduhan mereka bukan Islam,” katanya.

Panelis yang berucap adalah pensyarah Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Indonesia Profesor Azyumardi Azra, pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura Dr Syed Farid Alatas dan ahli akademik dari Council for Research in Values and Philosophy (RVP) Amerika Syarikat Dr Karim Douglas Crow.

Pautan:

Mufti Saudi kafirkan pemimpin Iran