Contohi Selangor dalam mengawal harga rumah, kata Exco

Rumah SelangorkuPETALING JAYA : Datuk Iskandar Abdul Samad menyarankan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri lain agar mencontohi Selangor dalam mengawal harga rumah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar itu berkata, polisi Rumah Selangorku yang berkuatkuasa Januari 2013 mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik atau Rumah Selangorku.

“Contohnya bagi pemaju yang membangunkan projek perumahan melebihi 10 ekar wajib membina 30 hingga 40% rumah mampu milik.

“Ia juga melibatkan beberapa komponen iaitu yang berharga RM42,000, RM100,000, RM150,000, RM180,000, RM220,000 dan RM250,000. Keluasannya adalah dari 650 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi berdasarkan harga jualan.

“Peratusan ini dan komponen pembangunan tertakluk kepada lokasi projek dan kemampuan projek. Bagaimanapun di bawah pihak berkuasa tempatan di Lembah Kelang seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pemaju yang membangunkan projek melebihi lima ekar wajib membina rumah mampu milik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang menyatakan Kerajaan Persekutuan hanya mengawal harga rumah berharga RM42,000 yang berkeluasan 600 kaki persegi.

Iskandar juga berkata walaupun kerajaan negeri tidak dapat mengawal harga rumah secara langsung tetapi pihaknya berusaha memastikan kewujudan bekalan rumah di pasaran bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, sejak usaha itu dipergiatkan pada tahun 2015, lebih 20,000 unit rumah telah diluluskan untuk dibina oleh pemaju-pemaju.

“Kerajaan negeri juga turut mengawal jualan rumah mampu milik di mana pemaju hanya dibenar menjual kepada pembeli yang berdaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Kelayakan membeli berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan.

“Saya yakin polisi Rumah Selangorku ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah harga rumah yang semakin di luar kawalan,” katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memiliki “political will” bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Iskandar juga memetik komen Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong yang menyarankan Kerajaan Persekutuan mengawal harga rumah seperti harga barang keperluan harian seperti gula, beras dan minyak masak.

“Jika harga bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan boleh dikawal, maka tiada ada alasan bagi kerajaan untuk tidak mengawal selia sektor tertentu dalam industri perumahan yang memberi kesan kepada majoriti penduduk.

“Jika jurutera, arkitek, juruukur bahan, pekerja mahir, pekerja asing dan bahan binaan boleh dikawal, mengapa tidak pemaju?” soalnya dalam satu laporan semalam.