Pindaan akta kahwin, cerai: Pandangan badan antara agama tidak diambil

Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berkata pihaknya tidak dirujuk dalam cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Oleh kerana ia tidak diberi kesempatan untuk melihat dan menilainya, badan antara agama itu tidak boleh bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

“Kami mahu jelaskan yang kami terdengar khabar angin mengatakan kami (MCCBCHST) bersetuju dengan pindaan yang diusulkan itu.

“Pandangan kami tidak diambil sehingga ke hari ini. Oleh itu, kita tidak boleh mengizinkan sebarang perubahan. Kerajaan sepatutnya berunding dengan semua pihak berkepentingan,” kata setiausaha agungnya, Prematilaka Serisena kepada FMT.

Pihak MCCBCHST bagaimanapun pernah mencadangkan empat perubahan kepada akta itu, dedahnya.

Dua cadangan pertama memastikan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan perceraian dalam perkahwinan sivil.

Cadangan itu mahu meminta perkataan ‘ibu bapa’ (parent) pada Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan kepada ‘ibu dan bapa’ (parents) supaya penukaran agama anak mendapat keizinan kedua pihak, bukan salah seorang.

Majlis itu juga mahu mahkamah sivil diutamakan semasa perceraian perkahwinan sivil dipohon, bukannya mahkamah syariah.

Cadangan itu juga mewajibkan pasangan beri notis tujuh hari sebelum menukar agama.

Prematilika berkata pindaan kepada akta kahwin, cerai akan gagal sekiranya ia tidak tangani isu penukaran agama secara sebelah pihak.

Beliau memetik kes melibatkan dua ibu beragama Hindu, S Deepa dan M Indira Gandhi, ekoran tindakan bekas semua yang menganut agama Islam menukar agama anak mereka secara sebelah pihak.

Dalam dua kes itu, si bapa merampas anak daripada si ibu.

Selepas perbicaraan yang panjang, Mahkamah Persekutuan menyerahkan hak penjagaan anak lelaki Deepa kepada si bapa.

Dalam kes Indira, bekas suami belum patuh perintah mahkamah sivil yang menyerahkan hak penjagaan anak perempuan bongsu kepada si ibu.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 berkuat kuasa serta-merta.

Pindaan akta itu akan memberi peluang kepada ibu dan bapa untuk menyelesaikan isu perkahwinan sivil di mahkamah sivil.

Najib berkata pindaan itu mahu menghapuskan pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, apabila salah seorang pasangan menukar agama. Luang perundangan dan penduaan peruntukan dalam undang-undang sedia ada juga akan diselesaikan.