
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata suspek berusia 25 tahun itu merupakan seorang penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek dipercayai menetap berhampiran rumah mangsa namun, beliau enggan memperincikan sama ada mereka saling mengenali.
“Suspek ini akan kita tahan secepat mungkin dan dari situ, kita yakin seorang lagi rakan subahatnya akan turut dikesan dan ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Karnival 1AmanWeek di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Nur Darleen, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, dilarikan 2 lelaki bermotosikal ketika menunggu van sekolah di depan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn.
Bagaimanapun, beliau ditemui selamat oleh orang awam berdekatan sebuah pasar raya kira-kira 7 jam kemudian selepas dipercayai ditinggalkan 2 lelaki berkenaan di kawasan itu setelah berita mengenai kejadian tersebut tersebar di laman sosial.
Othman berkata selain memburu 2 suspek itu, pihaknya juga akan mengambil keterangan beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 iaitu kesalahan melakukan penculikan, sambil memberitahu pihaknya turut menyiasat semua aspek termasuk kemungkinan wujudnya elemen rekaan penculikan dalam kes berkenaan.