38,000 pemandu teksi Lembah Klang terjejas angkara Uber, GrabCar

38,000 pemandu teksi Lembah Klang terjejas angkara Uber, GrabCar

Persatuan teksi mendakwa Uber dan GrabCar menjejaskan pendapatan mereka dan mendesak kerajaan mengharamkan kedua-dua perkhidmatan itu.

Pemandu-Teksi
PUTRAJAYA: Persatuan Pemandu Teksi Wawasan Putrajaya dan Selangor mendakwa kewujudan perkhidmatan Uber dan GrabCar menyebabkan pendapatan 38,000 pemandu teksi di Lembah Klang terjejas teruk.

Presidennya, Saari Omar berkata beliau dan semua persatuan teksi seluruh negeri mendesak kerajaan supaya mengharamkan kedua-dua perkhidmatan itu.

“Sebagai pemandu teksi kami juga duta kecil negara dan membantu menjana pendapatan negara. Kami amat berharap Datuk Seri Najib Razak dapat melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu ini.

“Bantu kami haramkan Uber dan GrabCar,” katanya ketika ditemui di depan pintu Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya hari ini.

Terdahulu, beberapa persatuan teksi dari seluruh Malaysia diketuai Persatuan Teksi 1Malaysia menyerahkan memorandum ke Jabatan Perdana Menteri.

Lebih 300 pemandu teksi dari Melaka, Pulau Pinang dan Johor berkumpul di pintu masuk JPM dengan laungan ‘Hidup Pemandu Teksi’ dan ‘Haramkan Uber dan GrabCar’.

Pemandu teksi, Nordin Khalid berkata beliau memandu teksi sejak 10 tahun lalu dan kini pendapatan hariannya kadangkala tidak mencecah RM20, sejak wujudnya Uber dan GrabCar.

“Dulu saya boleh dapat antara RM200-RM300 sehari hasil memandu teksi, sekarang nak dapat RM20 pun susah. Saya nak balik rumah pun takut.

“Saya juga ada keluarga untuk diberi makan, kalau RM20 sehari, bagaimana hendak saya teruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan kerajaan akan membantu pemandu teksi menerusi pemberian permit persendirian bagi memberi keadilan kepada mereka.

“Hendak mendapatkan permit berkenaan pun kami kena melalui pelbagai proses yang menyusahkan. Jangan layan kami begini. Kami pun macam anda, mahu cari makan,” katanya.

Pautan:

Protes Uber, GrabCar, 100 pemandu teksi berarak di KL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.