
CNN menganggarkan hampir 100 juta penduduk Amerika Syarikat akan mengikuti perkembangan debat itu secara langsung menerusi televisyen, telefon pintar dan media sosial, yang dijangka bermula pada 9.00 pagi (waktu Malaysia) hari ini.
Jumlah itu lebih daripada rekod penonton debat calon presiden AS sebelum ini iaitu 80 juta, yang menyaksikan pertembungan 1980-an antara calon Demokrat Jimmy Carter dan Republikan, Ronald Reagan.
Kempen kali ini adalah antara yang paling tegang dalam sejarah pilihan raya presiden AS, dengan penyokong terbahagi kepada mereka yang tertarik dengan retorik politik Trump yang mendakwa mahu mengembalikan “kegemilangan” AS, dan Hillary, bekas wanita pertama dan setiausaha negara yang mungkin berpeluang mencipta sejarah sebagai presiden wanita pertama kuasa besar itu.
Hillary dilaporkan membuat persediaannya di sebuah hotel bersama suaminya, bekas presiden Bill Clinton, tidak jauh dari Hofstra University, New York, di mana debat itu akan berlangsung. Dewan debat kini sesak dengan penonton yang termasuk pemimpin masyarakat dan orang kenamaan.
Debat calon presiden AS berlangsung selama 90 minit, dibahagikan kepada enam segmen, setiap satunya 15 minit.
Penonton dilarang bertepuk tangan atau bersorak untuk calon pilihan mereka.
Debat hari ini merupakan yang pertama daripada 3 sesi debat menampilkan Trump dan Hillary.
Soalan pertama ditujukan kepada Hillary yang mempunyai 2 minit untuk menjawab, sebelum peluang sama diberikan kepada Trump.