Tarik balik cadangan atau letak jawatan, kata DAP kepada SPR

Tarik balik cadangan atau letak jawatan, kata DAP kepada SPR

Kulasegaran berkata, cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR itu "paling tidak demokratik dalam sejarah negara" dan melanggar Perlembagaan serta prinsip seorang 1 undi.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA:
Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah perlu meletak jawatan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menarik balik cadangan persempadanan semula yang menyaksikan 13 kawasan “bersaiz luar biasa” mempunyai lebih 100,000 pengundi, kata ahli Parlimen Ipoh Barat.

M Kulasegaran dalam kenyataan hari ini berkata, cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR itu “paling tidak demokratik dalam sejarah negara” dan melanggar Perlembagaan serta prinsip seorang 1 undi.

Wakil rakyat DAP itu berkata, Pengerusi SPR terdahulu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pernah berjanji akan memastikan persempadanan semula mematuhi prinsip dan jumlah pengundi di sesebuah kawasan Parlimen tidak akan melebihi 100,000 orang.

Bagaimanapun, kajian baru-baru ini menunjukkan akan wujud 13 kawasan pilihan raya “bersaiz luar biasa”, contohnya Damansara bakal memiliki 150,439 pengundi dan Kuala Terengganu (101,875 pengundi).

Katanya, beliau bersama Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong akan mendapatkan 100 tandatangan untuk memfailkan bantahan terhadap kajian persempadanan semula di kawasan Parlimen mereka.

Beliau berkata, cadangan SPR itu memihak kepada Umno yang menyebabkan pembangkang dan parti komponen BN tidak puas hati serta turut membuat bantahan terhadap tindakan menambah atau mengeluarkan pengundi dari sesebuah kawasan tanpa alasan sah.

“Satu kajian tertutup akan mendedahkan pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada tindakan itu ialah Umno,” katanya.

SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lalu.

Syor kajian semula persempadanan itu akan dipamerkan sehingga 14 Oktober ini untuk tujuan semakan dan bantahan.

Pautan:

Gerakan bantah persempadanan pilihan raya kerana menjejaskan partinya

Persempadanan semula agar Umno dapat ‘pak turut’, dakwa Izzah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.