Redha wakili Malaysia ke Anugerah Oscar

Finas

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan filem Redha secara rasminya akan mewakili Malaysia untuk dipertimbangkan sebagai calon berpotensi bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik bagi Anugerah Akademi ke-89 (Oscar).

Filem arahan Tunku Mona Riza, dan diterbitkan Current Pictures Sdn Bhd, mengisahkan cabaran dan perjuangan sepasang suami isteri mendidik anak autisme, dan pengorbanan yang dilakukan demi anak-anak mereka.

Antara barisan pelakon yang membintanginya, Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nissa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, dan Susan Lankester, Izzy Reef serta pelakon kanak-kanak Harith Haziq.

Redha memberi impak di peringkat antarabangsa apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Jun Lojong) dan Anugerah Khas Juri bagi Filem Kemanusiaan di Festival Filem Filipina 2016 awal tahun ini.

Bulan lalu, di Festival Filem Islam Antarabangsa Kazan ke-12, ia memenangi 2 anugerah khas iaitu Anugerah Khas Pilihan Presiden Republik Tatarstan Untuk Kemanusiaan Dalam Sinematografi yang dianugerahkan oleh Naib Presiden Tatarstan dan Anugerah Khas daripada Pengkritik Filem Rusia.

Redha turut menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem panjang yang dimenangi 3 pelakon filem berkenaan iaitu Nam Ron, Harith Haziq dan Izzy Zulkhazreef.

Pengarah Redha, Tunku Mona gembira dengan pengumuman Finas.

“Apabila suami saya, Haris, menyampaikan berita itu, saya hanya terdiam. Saya tidak percaya. Saya menangis. Alhamdulillah,” kata Tunku Mona, yang merupakan kali pertama mengarah filem.

Suaminya, Ku Mohamad Haris, yang juga penerbit eksekutif filem itu, lebih berterus terang tentang peluang Redha di Oscar.

“Jalannya masih jauh untuk melepasi semua peringkat. Peluang untuk menang sangat tipis.

“Anugerah Oscar sangat berprestij, jadi walaupun 5 pencalonan tertinggi sudah menjadi satu pencapaian membanggakan. Kami berharap tema universal filem kami akan membantu membawa kita setinggi yang mungkin,” katanya .

Pasangan itu juga mengucapkan terima kasih kepada Finas terhadap sokongan yang berterusan.

“Kami bersyukur ramai pihak di Finas, terutamanya Ketua Pengarah Kamil Othman yang menyokong perjalanan kami kerana kualiti dan tema filem,” kata Haris.

Lebih 80 negara dijangka menghantar calon untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik dan selepas peringkat saringan, 5 filem akan diumumkan sebagai calon rasmi bagi kategori untuk majlis utama Oscar.

Anugerah Akademi ke-89 akan diadakan di Teater Dolby, Hollywood pada 26 Februari 2017.