Cegah buli orang buta, DBKL pasang CCTV di Brickfields

Cegah buli orang buta, DBKL pasang CCTV di Brickfields

CCTV itu perlu bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti penjenayah serta mengekang masalah jenayah membabitkan golongan OKU.

Bahasa,orang-buta,-CCTV,-DBKL
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan panas sekitar Brickfields bagi mengesan pihak yang melakukan jenayah terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Timbalan Pengarah Perancangan Bandaraya DBKL Rosli Nordin berkata pemasangan CCTV itu adalah perlu bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti penjenayah serta mengekang masalah jenayah yang membabitkan golongan OKU.

“DBKL ada memperuntukkan bajet dalam usaha menjadikan bandar kawasan selamat. Kita akan pasang CCTV di kawasan panas seperti di kawasan orang ramai dan sekolah,” katanya pada sesi ramah mesra ‘Be Safe, Feel Safe’ hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab permasalahan yang disuarakan seorang kakitangan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Sahmar Saad, 47, yang juga orang cacat penglihatan.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata DBKL juga akan mengkaji dan menyediakan laporan lengkap untuk mewartakan Brickfields sebagai bandar mesra OKU seperti dicadangkan Sahmar yang mewakili kira-kira 80 orang cacat penglihatan pada majlis itu.

“DBKL perlu ada perancangan teliti yang merangkumi semua aspek seperti sosial, infrastruktur dan kemudahan. Laporan lengkap juga akan disediakan dalam masa terdekat dan dibawa kepada kementerian supaya dapat dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Mohd Khairi Sulaiman, 49, yang juga cacat penglihatan turut meminta DBKL mengambil tindakan terhadap orang ramai yang meletak motosikal di atas laluan pejalan kaki dan menutup lubang longkang dengan sebaiknya.

“Keadaan sebegini amat merbahaya buat kami yang tidak nampak. Motosikal yang diletak atas laluan pejalan kaki membuatkan kaki kami terkena ekzos panas dan beg kami tersangkut di handle motosikal.

“Mengenai penutup longkang yang dilarikan dan lubang saluran air hujan, ia juga berbahaya kepada kami, sampaikan ada antara kami yang terseliuh akibat terjatuh ke dalam lubang,” katanya yang juga kakitangan MAB.

Program yang dianjurkan sempena sambutan 10 tahun Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) itu turut dihadiri wakil DBKL, PDRM, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Rukun Tetangga Sektor Brickfields.

LA21 KL yang mula dilaksanakan sejak 2005 menekankan penglibatan 3 pihak iaitu DBKL, masyarakat serta sektor swasta untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.