PAS marah Amanah halangnya kerjasama dengan Umno, dakwa Husam

husam-musa_amanah_pas_600

PETALING JAYA: PAS didakwa marah kepada Amanah kerana menyekat parti itu daripada bekerjasama dan berpadu dengan Umno, kata penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.

Dalam ceramahnya di Ciku, Gua Musang, malam tadi, Husam berkata, PAS bimbang jika mereka meneruskan hasrat itu, ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan hasrat pimpinan parti Islam itu akan lari menyertai Amanah.

“Hasrat nak kerjasama ini dah mula runding sejak 2008 lagi. Macam-macam rundingan dah berlaku.

“Bila ada Amanah, PAS bimbang untuk meneruskan kerjasama itu kerana ahli-ahli bawahan PAS tak setuju. Jika mereka teruskan, lari habislah mereka ke dalam Amanah,” dakwa Husam.

Rundingan terbaru, kata Husam, adalah dalam bentuk perbincangan di Kluster Politik Negara, Majlis Perundingan Islam (MPI) yang terletak di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Datuk Ahmad Yakob, MB Kelantan jadi pengerusi bersama dengan Datuk Seri Zambry, MB Perak dengan diwakili pelbagai pihak atas nama perpaduan ummah,” kata Husam.

Adun Salor itu berkata, sejak awal lagi, beliau menentang usaha kerjasama atau perpaduan dengan Umno kerana PAS akan sentiasa mengekori Umno, bukannya memimpin.

“Umno lokomotif (kepala) keretapi, kita (PAS) jadi gerabak sokmo (sentiasa). Jadi, sampai bila Islam nak memimpinnya,” kata Husam dalam ceramah itu.

Mesyuarat terakhir Kluster Politik ini berlangsung beberapa hari lalu di ibu negara.

Turut serta dalam perbincangan itu adalah ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Seorang peserta kluster itu, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff memuat naik gambar-gambar mesyuarat itu ke Facebooknya.

“Selesai meeting Kluster Politik Negara di bawah MPI di ibu negara sebentar tadi.

“Doakan usaha kami mencari jalan perpaduan ummah berjaya,” tulisnya pada 11 Oktober lalu.

Sebelum ini, seorang peserta kluster ini juga memaklumkan, agenda utama dalam setiap mesyuarat adalah mencari jalan perpaduan dan kerjasama antara Umno dan PAS.