Amali sembelihan wajar dikendali orang dewasa

Amali sembelihan wajar dikendali orang dewasa

Kanak-kanak pula seharusnya lebih ditekankan nilai di sebalik ibadah korban.

sembelih-ayam
KUALA LUMPUR:
Tokoh muda pertubuhan Nahdatul Ulama Indonesia, Zuhairi Misrawi berpandangan amali sembelihan sewajarnya ditangani oleh orang dewasa dan bukannya kanak-kanak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebuah sekolah rendah di Batu Caves, Selangor sebelum ini yang mengadakan latihan penyembelihan “korban” melibatkan 70 ekor burung puyuh untuk murid tahun 6.

Kata graduan lepasan Universiti Al-Azhar itu, agama sememangnya tidak boleh diabaikan kerana memainkan peranan penting dan sudah berakar dalam masyarakat Nusantara.

“Tetapi aspek pelaksanaannya perlulah dinilai secara berhati-hati. Bagi amalan sembelihan, seeloknya dibuat di masjid sahaja dan dikendalikan oleh orang dewasa,” katanya ketika ditemui FMT di sebuah program di sini semalam.

Katanya lagi, kanak-kanak seharusnya lebih ditekankan nilai di sebalik ibadah korban seperti semangat “berkongsi dengan golongan yang lebih memerlukan”.

Menurut laporan FMT 14 Oktober lalu, terdapat ibu bapa yang mengatakan anaknya trauma selepas melihat burung disembelih, dan mempersoalkan sama ada pihak sekolah mematuhi garis panduan bagi menyembelih binatang.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Mohamad Ali Hassan mempertahankan program itu dan menyatakan faktor umur murid terlibat tidak menjadi isu.

Ketua Biro Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin pula berkata ia wajar dielakkan kerana boleh menyebabkan trauma, selain ia hanya fardu kifayah yang hanya wajib untuk sebahagian orang Islam.

Pautan:

Ibu bapa, pelajar terkejut latihan ‘sembelih korban’ di sekolah

Murid diajar menyembelih mungkin trauma, kata Wan Ji

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.