
Stephen Wong berkata, beliau berharap agar parti diasaskan Datuk Seri Shafie Apdal dapat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Kita alu-alukan (Warisan). Kita harap parti ini boleh bersama-sama dengan kita dan PH untuk menumbangkan BN, agar dapat berikan kehidupan baharu kepada rakyat Sabah.
“Ini cerita yang lepas (pemimpin lompat parti). Kita masih boleh selesaikan dan jika ada yang lebih selesa dengan Shafie Apdal, apa yang boleh kita lakukan,” katanya kepada FMT.
Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mengumumkan Warisan sebagai parti baharu Sabah dan bertekad menyatupadukan semua kaum di negeri itu, dengan beliau sendiri sebagai presiden.
Wakil rakyat Semporna dan bekas menteri itu turut mengumumkan bekas naib presiden PKR, Darell Leiking sebagai timbalan presiden.
Manakala bekas presiden Kadazan Dayak Murud Malaysia, Datuk Peter Anthony, bekas naib ketua Umno Semporna, Jaujan Sambakong dan bekas setiausaha DAP Sabah, Junz Wong dinamakan sebagai naib presiden.
Jawatan setiausaha agung Warisan pula akan dipegang peguam Loretto S Padua Jr.
Sebelum ini, Stephen melabelkan Adun Likas, Junz yang keluar daripada DAP sebagai pengkhianat dan Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh mendesaknya melepaskan kerusi DUN yang dimenanginya atas tiket DAP.
Kata Stephen lagi, ketika ini semua parti seperti DAP dan Warisan perlu perjuangkan semula hak rakyat Sabah yang hilang sejak 50 tahun.
“Tidak kira sama ada parti tempatan atau tidak, jika ada niat untuk mengubah Sabah, mahu perjuangkan apa yang Sabah hilang, hak asasi autonomi, kita akan sokong,” katanya.
Pautan:
Parti baharu Shafie lebih berminat satukan rakyat Sabah, bukan parti
tags: bahasa, Stephen Wong, Pengerusi DAP Sabah, Parti Warisan Sabah, Warisan, Shafie Apdal,