Pastikan TN50 jangan abai Bumiputera, kata Perkasa

Pastikan TN50 jangan abai Bumiputera, kata Perkasa

Ibrahim Ali mendesak kerajaan memberi jaminan untuk terus membela sosio-ekonomi Bumiputera melalui dasar afirmatif yang menyeluruh menjelang 2050.

ibrahim-ali-bajet-2017-1
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) memberi amaran akan memantau “Gagasan ‘Transformasi Nasional 2050” (TN50) yang diumumkan perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2017 tidak mengabaikan Bumiputera.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan memberi jaminan untuk terus membela sosio-ekonomi golongan itu melalui dasar afirmatif yang menyeluruh menjelang 2050.

“Pelaksanaan TN50 hendaklah jangan sesekali menghakis pelbagai program dan dasar untuk Bumiputera sehingga tercapainya pembahagian ‘kek ekonomi’ yang adil antara kaum.

“Perkasa akan memantau perkembangan wacana nasional ini. Bumiputera kini terus dipinggirkan di bawah dasar berasaskan keperluan (need-based policy),” kata beliau dalam kenyataan rasminya hari ini.

Pengumuman TN50 turut mengundang tanda tanya berikutan Najib turut berkata “biarkan legasi lama berlalu pergi”, yang dilihat pelbagai pihak merujuk kepada Wawasan 2020 bawaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ibrahim menyifatkan bajet itu sebagai “bajet udang di sebalik batu” kerana kebanyakan peruntukan disasarkan terus kepada masyarakat akar umbi dan memberikan gambaran mungkin Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan paling lewat pada suku ke-3 2017.

Menurutnya lagi, agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera hanya disentuh ibarat “melepaskan batuk di tangga” dalam bajet itu yang dibentangkan Jumaat lalu.

“Dana yang diumumkan tidak membolehkan kerajaan melaksanakan program berimpak tinggi. Statistik terkini mengenai kedudukan ekonomi dan pendapatan isi rumah Bumiputera juga tidak diperincikan.

Beliau menyifatkan dana RM2 bilion untuk biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai tidak mencukupi, selain kerajaan sepatutnya turut memperkenalkan program membantu Bumiputera mendapatkan premis perniagaan, komersial dan bukan kediaman semata-mata.

Menerusi bajet kali ini, kerajaan memperuntukkan RM1.52 bilion khusus untuk ekonomi Bumiputera, termasuk RM500 juta untuk membantu memulakan atau mengembangkan perniagaan dan RM100 juta untuk syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa, menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Beliau turut membidas Najib yang menyatakan Malaysia bukanlah negara muflis dan menyifatkan penjelasan itu sebagai tidak memadai.

“Negara hari ini digugat sindrom keabsahan pemimpin tertingginya; persepsi negatif rasuah dan penyalahgunaan kuasa di pelbagai peringkat yang diwujudkan pada era pentadbiran Najib,” katanya lagi.

Justeru, kerajaan perlu membentuk dasar, program dan aktiviti pencegahan rasuah lebih holistik untuk memastikan ribuan juta wang negara dalam Bajet 2017 tidak berlaku ketirissan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.