Keluarga kerinduan, mengharap tahanan Guantanamo pulang

Guantanamo

PETALING JAYA: Warga emas Mohd Amin Anan bergantung harap dapat bertemu anak lelakinya, Mohd Farik sebelum menutup mata buat kali terakhir.

Farik, 41, berada dalam tahanan Amerika Syarikat (AS) di kem tahanan Guantanamo Bay di Cuba sejak 2006 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan.

New Straits Times (NST) melaporkan peluang Farik untuk dipindahkan ke tanah air dalam waktu terdekat “tidak begitu menggalakkan”, kerana dia masih kekal radikal.

Amin, yang dalam keadaan lemah ketika ditemu bual di rumahnya di Kajang baru-baru ini berkata beliau berdoa Putrajaya akan dapat cara untuk membawa Farik pulang untuk dipulihkan.

“Saya terima jika dia ditahan di sini. Sekurang-kurangnya dia dekat dengan keluarga. Jika tidak, saya mungkin tidak dapat menemuinya. Umur saya 80 tahun sekarang dan tidak tahu berapa lama lagi dapat menunggunya,” katanya.

Amin berkata beliau tidak tahun bila proses radikal anaknya itu bermula.

Kali terakhir bertemu Farik pada 1999 ketika anaknya itu bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan meminta izinnya untuk belajar agama.

Dua hari selepas itu, Farik bersama 3 rakannya dan keluarga hanya mengetahui mengenai penahanannya di Thailand, 5 tahun selepas itu, selepas tsunami pada 2004.

Pada ketika itu baru mereka tahu yang Farik ke Afghanistan untuk terbabit dengan aktiviti militan pada 2000 dan berikrar setia kepada Osama bin Laden.

“Ketika saya dimaklumkan mengenai penahanannya, saya terkejut kerana dia budak baik. Dia tidak tidak keluar sangat dengan kawan. Dia hanya keluar pergi kerja dan balik rumah,” kata Amin.

Farik ditahan pada Jun 2003 sementara Mohamad Nazir Lep, seorang lagi warganegara Malaysia di Guantanamo, ditangkap 2 bulan kemudian.

Kedua-duanya berkawan ketika belajar di Politeknik Sultan Abdul Halim, dan susulan penahanan mereka, kedua-duanya diklasifikasikan sebagai “pejuang musuh” oleh AS dan dihantar ke Guantanamo Bay pada 2006.

Laporan itu berkata Farik dan Nazir direkrut oleh pemimpin Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah Indonesia, Riduan Isamuddin aka Hambali untuk menyertai misi berani mati kumpulan itu.

Menurut laporan itu, Lembaga Semakan Berkala AS terhadap Farik menunjukkan dia masih “terdedah untuk direkrut oleh ekstremis” dan dia percaya operasi menyasarkan tentera AS sah.

Sementara itu, Nazir, 40, mempunyai peluang lebih cerah untuk dipindahkan ke tanah air kerana panel semakan sama berkata dia “akan menyemak semula kes Nazir dalam tempoh 6 bulan” dan ia “menggalakkan usaha berhubung dengan keluarga Nazir serta kerajaan Malaysia” mengenai kemungkinan dipindahkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada bulan lalu berkata Washington bersedia untuk berunding mengenai pemindahan Nazir.

NST juga menemu bual abang Nazir, Zahbah yang berkata penahanan adiknya itu menyebabkan ibu mereka terlalu sedih dan meninggal dunia pada 2009.

Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata Kuala Lumpur dan Washington bersedia untuk berunding mengenai mekanisme terbaik bagi penghantaran pulang kedua-dua tahanan, atau sekurang-kurangnya seorang, dari Guantanamo.

Fuzi berkata jika pindahan itu berlaku, kedua-duanya akan menjalani program deradikalisasi di sini untuk membolehkan mereka pulang ke pangkal jalan.

Katanya, jika program itu gagal memulihkan tahanan, mereka masih boleh ditahan mengikut undang-undang seperti Akta Pencegahan Jenayah, Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah-langkah Khas serta Kanun Keseksaan.

“Apa pun, saya rasa ia tanggungjawab moral kita untuk bawa mereka pulang,” katanya.

Presiden AS Barack Obama yang akan bersara dalam tempoh beberapa bulan lagi, pernah menekankan yang salah satu sasarannya sebelum meninggalkan Rumah Putih ialah menutup Guantanamo.