Sudah sampai masanya Bersih bersikap jujur, kata Rahman Dahlan

rahman-dahlan-bersih-1

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi beberapa contoh yang katanya membuktikan tanpa keraguan Bersih 2.0 adalah alat pihak pembangkang.

Ini adalah sebagai respons susulan gesaan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming agar beliau membuktikan Bersih bertujuan menjatuhkan kerajaan pemerintah.

Pertama, Rahman menyebut semasa akhir Bersih 4, pembesar suara secara terbuka menggesa orang ramai menolak pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN serta berjanji mengundi menentang kerajaan pemerintah.

Kemudian, beliau juga menyebut insiden di mana para pemimpin Bersih seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah bercakap di pelbagai acara parti pembangkang termasuk pilihan raya kecil Teluk Intan.

Beliau juga menyatakan bagaimana, daripada berjuang untuk pilihan raya yang bebas dan adil, Bersih secara aktif menyertai perhimpunan anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) anjuran pembangkang.

“Satu sistem cukai diterima secara universal dan moden tiada kaitan dengan pembaharuan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau mempersoalkan mengapa Bersih menjemput Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melancarkan pameran bergerak negeri itu kerana ia sepatutnya menggesa beliau “turun sementara waktu” semasa berhadapan dakwaan tuduhan rasuah berganda.

Katanya, ia sepenuhnya menunjukkan keingkarann terhadap tadbir urus yang baik, garis panduan perkhidmatan awam dan amalan demokrasi.

Rahman juga mendakwa Bersih melanggar prinsip demokrasi semasa perhimpunan Bersih 4 dan 5, di mana mereka menuntut perdana menteri berundur walaupun sudah disiasat dan dibersihkan pihak berkuasa berkaitan yang sah.

Akhir sekali, beliau juga menyebut Ambiga secara terbuka “mengulang” dakwaan pembangkang berkenaan orang asing yang menjadi “pengundi hantu” dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serta kejadian “blackouts” – kedua-duanya dipertikaikan melalui Laporan Pemantau Bersih sendiri yang mengatakan tidak ada bukti.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk menggugurkan semua dakwaan yang Bersih adalah non-partisan dan tidak terlibat dalam politik. Sudah tiba masanya berkata benar, terang dan mengakui Bersih kini hanya satu lagi alat parti pembangkang dan bukan badan yang memperjuangkan reformasi pilihan raya,” katanya.