Nurul Izzah pertahan Wawasan 2020

IzzahKUALA LUMPUR: Walaupun pembangkang dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selalu bercanggah pendapat, sekurang-kurangnya mereka akur dengan inisiatif yang baik untuk masa depan negara.

Begitu kata Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dalam ucapannya membantah rancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan gagasan Wawasan 2020 dengan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya pembangkang lantang mengkritik rejim autokratik Dr Mahathir, tetapi mereka tidak pernah membencinya secara peribadi.

Atas sebab itu, menurutnya, dalam banyak perkara yang dibidas pembangkang, mereka tidak menyentuh wawasan pemimpin berusia 91 tahun itu untuk Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Kita tak setuju dengan banyak perkara yang Dr Mahathir lakukan. Banyak kekejaman yang sudah berlaku.

“Tetapi kita tidak serang wawasan yang digariskan untuk masa depan kita bersama,” kata Izzah semasa membahaskan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya tidak faham mengapa Pekan (Najib) perlu mengenepikan wawasan itu.”

Beliau merujuk kepada belanjawan Persekutuan bagi tahun 2017 yang dibentangkan Najib di Parlimen Jumaat lepas. Najib mengumumkan TN50 yang menyahkan Wawasan 2020.

Seterusnya Izzah meminta kerajaan supaya akui kelemahan dan mendakap dasar yang dimaksudkan untuk kebajikan rakyat.

Beliau kemudian menyeru kerajaan dan pembangkang supaya bekerjasama melaksanakan reformasi.

“Terutamanya apabila program sedia ada belum mencapai matlamatnya. Ini wang rakyat, tolonglah terima dasar yang baik.

“Tanggungjawab kita sebagai ahli Parlimen adalah melaksana dan meluluskan program yang baik untuk masa depan, bukannya program untuk menang pilihan raya.”

Mengakhiri ucapannya menolak belanjawan itu, Izzah bagaimanapun bersetuju dengan beberapa cadangan seperti peruntukan untuk pemandu teksi.