Pesakit, kakitangan HSA sekali lagi diarah keluar bangunan

bakar_hospital1

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) sekali lagi gempar apabila pesakit dan kakitangan hospital diarahkan keluar dari bangunan induk hospital berkenaan kira-kira 1.45 tengah hari ini.

Wartawan yang berada di lobi hospital itu melihat beberapa kakitangan HSA berlari keluar mendapatkan Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Ibrahim Omar, yang juga ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

Kakitangan berkenaan bersama Ibrahim dilihat memasuki bangunan induk hospital itu sebelum semua pesakit luar di Jabatan Kecemasan dan Trauma dibawa keluar dan dikumpulkan di tempat parkir di depan bangunan itu.

Semua yang berada di bangunan itu dipercayai keluar setelah penggera kecemasan dikatakan berbunyi.

Sepuluh minit kemudian, pesakit dari bangunan berhampiran juga turut dibawa keluar oleh kakitangan HSA dan dikumpulkan di tempat sama.

Sebuah jentera JBPM juga dilihat tiba di perkarangan hospital.

Kebakaran di tingkat 2 semalam meragut nyawa 6 pesakit di wad ICU manakala seorang lagi pesakit dan 3 kakitangan HSA dapat diselamatkan.

Terdahulu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan melawat kakitangan yang cedera itu di HSI hari ini.

Baginda tiba di HSI kira-kira 10.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira sejam dengan diiringi Pengarah HSI Arbain Lain dan Dr Rooshaimi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata seramai 51 pesakit HSA termasuk tiga kakitangan HSA ditempatkan di HSI.