Indira mohon panel hakim berbilang bangsa, jantina

kulasegaran-indira-1

PETALING JAYA: M Indira Gandhi, yang mencabar penukaran unilateral 3 anaknya oleh bekas suami mualaf memohon panel hakim berbilang kaum dan jantina untuk mendengar kesnya yang dijadualkan bulan depan.

Peguamnya M Kulasegaran memberitahu FMT, permintaan itu dibuat kepada hakim tertinggi negara Tun Arifin Zakaria memandangkan ia memberi implikasi besar berkaitan isu undang-undang kepada rakyat Malaysia.

“Kami meminta kuorum lebih besar daripada Mahkamah Persekutuan yang mencerminkan rakyat Malaysia berbilang kaum dan komposisi jantina,” kata Kula sambil menambah surat sudah dihantar kepada Arifin 3 minggu lalu.

Pada Mac 2014, Arifin mengetuai panel 7 hakim mendengar permohonan kebenaran Gereja Roman Katolik untuk mencabar Kementerian Dalam Negeri ke atas pengharaman penggunaan perkataan “Allah”.

Panel hakim yang terdiri daripada seorang wanita dan 2 hakim bukan Islam walaupun mahkamah akhirnya enggan memberi kebenaran pendengaran merit kes kepada pihak gereja.

Kula yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, mahkamah memaklumkan kepadanya kes itu akan hanya didengar sehari iaitu pada 14 November dan bukannya 2 hari.

Pada 19 Mei, mahkamah memberikan kebenaran kerana Putrajaya tidak membantah 3 persoalan undang-undang yang ditimbulkan Indira.

Soalan itu adalah: “sama ada Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mengkaji semula tindakan Pendaftar Muallaf atau wakilnya sebagai pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa terhadap hak berkanun Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004;

“Sama ada seorang kanak-kanak daripada perkahwinan sivil yang belum berumur 18 tahun mesti mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Perak atau peruntukan yang sama di bawah undang-undang negeri lain di hadapan Pendaftar Muallaf boleh mendaftarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam;

“Sama ada ibu dan bapa (jika kedua-duanya masih hidup) seorang kanak-kanak daripada perkahwinan sivil mesti bersetuju sebelum sijil pemelukan Islam boleh dikeluarkan berhubung kanak-kanak itu.”

Pada Disember, Mahkamah Rayuan secara majoriti memutuskan kesahihan penukaran agama anak oleh bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, Ipoh 2013, Hakim Balia Yusof Wahi dan Badariah Sahamid berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar perkara pertukaran agama itu.

Bagaimanapun, Hakim Hamid Sultan Abu Backer, yang menentang berkata, perkara pertukaran agama itu hanya berkaitan urusan pentadbiran semata-mata dan mahkamah sivil boleh menyiasat perkara itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Lee Swee Seng menahan sijil penukaran agama kanak-kanak – Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa – adalah batal dan tidak sah.

Tevi Darsiny dan Karan Dinish berada dalam jagaan Indira manakala Prasana Diksa bersama bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah atau nama asalnya K Pathmanathan.

Pada 2009, Riduan merampas anak perempuan bongsu mereka Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan, sebelum secara unilateral menukar agama 3 anak-anaknya tanpa kehadiran mereka.

Hanya 6 hari selepas menukar agama mereka, beliau mendapat perintah jagaan sementara di Mahkamah Syariah pada 8 April 2009, dan kemudian mendapat perintah jagaan tetap pada 29 September 2009.

Dalam perbalahan berlarutan hak jagaan anak, Indira kemudiannya memenangi hak penjagaan ke atas anak-anaknya di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac 2010, dengan mahkamah sivil yang sama mengeluarkan perintah menterbalikkan keputusan memihak kepada beliau.

Riduan gagal mencabar perintah hak jagaan anak di Mahkamah Persekutuan, tetapi masih belum mengembalikan Prasana walaupun didapati menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah mahkamah Ipoh. Lokasi Prasana yang berusia lapan tahun itu masih tidak diketahui.

Dalam cabaran undang-undang beliau terhadap penukaran unilateral anak-kanaknya, Indira menamakan pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip); Pendaftar Muallaf, kerajaan negeri Perak; Kementerian Pelajaran; kerajaan Malaysia dan Riduan sebagai responden.

Anak perempuan sulung Indira, Tevi Darsiny kini berusia 19 manakala abangnya Karan Dinish baharu sahaja memasuki usia 18 tahun bulan lalu dan kedua-duanya sudah cukup dewasa untuk memutuskan agama mereka sendiri.