Kementerian cadang kuasa tentukan harga rumah kerajaan negeri diselaras

noh-omar_rumah_600

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang meminta kerjasama kerajaan negeri agar kuasa menentukan harga rumah yang ada pada mereka dapat diselaraskan bagi membantu menurunkan harga rumah.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu akan dibuat pada Mesyuarat Perumahan

Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 November hadapan.

“Supaya dapat diselaraskan. Mudah-mudahan kalau ada sumbangan daripada pihak kerajaan negeri maka harga rumah dapat diturunkan.

“Kerajaan persekutuan dah buat macam-macam seperti rumah mampu milik, rumah PR1MA. Kita tubuhkan juga Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPMB) melalui KPKT, Felda, Felcra.

“Ini usaha kerajaan persekutuan dan kita berharap pihak swasta juga dapat bersama untuk menyediakan rumah mampu milik dan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.

Menerusi Bajet 2017, sebanyak 30,000 rumah kos mampu milik bakal disediakan di lokasi strategik selain 5,000 unit rumah mesra rakyat dan 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa golongan muda.

Beliau dalam masa yang sama turut ditanya sekiranya kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Kita kena hormati Perlembagaan. Kerajaan negeri ada kuasa, tanah, tentukan harga premium, caj pematuhan kerajaan negeri. Kita ni memberikan nasihat untuk bersama-sama berusaha menurunkan harga rumah.

“Yang mana peranan kerajaan persekutuan, kita dah cuba buat. Namun demikian, ada di luar kuasa kita seperti tanah, rumah, buruh dan juga kos pembinaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang menyatakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) diperkenalkan Najib dalam Bajet 2017 pada Jumaat lalu tidak akan mencapai tujuannya, Noh menyatakan pembangkang tidak akan menerima apa sahaja dilakukan kerajaan.

“Beliau kata Malaysia akan bangkrap. Kita dah kelam kabut dah, tak ada bangkrap pun. Oh Malaysia merupakan failed state, bila kita tengok tak ada failed state pun.

“Beliau memang buat satu prasangka yang negatif. Apa tujuan beliau? Supaya rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan BN. Yang ni kita buat dasar baru 2050, dia kata tak akan tercapai. Eh, baru lancar beliau dah tahu tak tercapai macam mana?” soalnya.