Khairuddin kekal ‘kuburkan BN’ bersama PPBM, kata Anina

anina

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan tetap menyokong perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meskipun mengambil keputusan mengejut keluar parti, kata Anina Saadudin.

Ketua sayap Wanita PPBM itu berkata Khairuddin yang juga orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad akan bersama parti menumbangkan kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya bukan berada dalam kedudukan yang sesuai untuk memberi komen tentang penarikan diri Khairuddin daripada Bersatu, tetapi saya percaya beliau menimbangkan dengan sebaik-baiknya keputusan tersebut.

“Paling penting apa pun keputusannya saya yakin dan percaya beliau sentiasa menyokong dan bersama-sama Bersatu dalam agenda menjatuhkan kerajaan BN pada PRU14,” katanya kepada FMT.

Malam tadi, Khairuddin mengumumkan keluar PPBM berkuat kuasa serta-merta dengan alasan bagi membolehkan beliau memberi tumpuan menangani kes mahkamah yang sedang dan akan berlangsung “secara berterusan” selepas ini.

Katanya, beliau akan tetap bersama Sekretariat Deklarasi Rakyat, yang cukup “bermakna dan amat sentimental” buat dirinya.

“Adakalanya dalam perjuangan kita hanya perlu berbekalkan keikhlasan untuk berjuang. Jawatan tidak penting langsung sekiranya kita ikhlas untuk berjuang.

“Mulai saat dan detik ini; setiap orak langkah perjuangan saya adalah atas nama Khairuddin bin Abu Hassan tanpa mewakili mana-mana parti politik buat sementara waktu,” katanya.

PAUTAN:

Khairuddin umum keluar PPBM berkuat kuasa serta-merta