Bekas menteri masih terikat OSA, kata Zahid

zahid-osaKUALA LUMPUR : Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih mengikat individu yang pernah menjadi anggota pentadbiran kerajaan walaupun ahli Parlimen mempunyai kekebalan di dalam Dewan Rakyat.

Timbalan perdana menteri berkata perkara itu disebut dalam rahsia kerajaan dan harus diakui dan menjadi ingatan kepada semua.

“Walaupun ahli Parlimen mempunyai kekebalan, Akta Rahsia Rasmi menyebut sumpah simpan rahsia masih mengikat individu yang menjadi mantan anggota pentadbiran.

“Ini harus diakui dan menjadi ingatan kepada semua,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku “Being Abdullah Ahmad Badawi” di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis akan mengambil keterangan 3 bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan dalam masa terdekat.

Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB susulan laporan polis dibuat 2 NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata kerajaan menyerahkan kepada polis untuk membuka kertas siasatan terhadap 3 bekas menteri itu.

“Jika didapati ucapan benar-benar mempunyai pelanggaran OSA, maka polis akan serahkan siasatan kepada peguam negara untuk membawa pertuduhan ke mahkamah.

“Terlalu awal bagi saya untuk bercakap mengenai apa yang didapati. Kita serahkan kepada polis dan peguam negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Zahid turut mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak Bersih 2.0 dibiayai dana asing.

“Kita tak boleh kata apa pun sehingga pembuktian diperoleh,” katanya.

 

Peguam: Kenapa 1MDB kebal sehingga tak boleh dipersoal di Parlimen