Ibrahim Ali: Perkasa dan PPBM bagai langit dengan bumi

Ibrahim Ali: Perkasa dan PPBM bagai langit dengan bumi

Ibrahim Ali menjelaskan gerakannya mempunyai agenda yang berbeza dengan PPBM yang bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan.

ibrahim-ali
KUALA LUMPUR: Perkasa menafikan berkongsi matlamat yang sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), malah menyifatkan perbezaan dua organisasi itu ibarat “langit dengan bumi”.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali menyangkal laporan Malaysiakini semalam yang memetik seorang pengasas PPBM yang enggan dinamakan sebagai berkata, ramai ahli kedua organisasi itu “mempunyai matlamat yang sama”.

Ibrahim berkata, perbezaan itu semakin jelas selepas PPBM mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Pada peringkat awal dan belum pun ada mesyuarat agung, PPBM isytiharkan ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP. Ia sekaligus membuatkan (Perkasa dan PPBM) bagai langit dengan bumi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Beliau berkata, pengumuman itu menunjukkan PPBM akan terpaksa mengikut agenda Pakatan yang bertentangan dengan perjuangan Perkasa.

“Bukan setakat mahu menukar Perdana Menteri, tetapi dasar seperti mengenepikan agenda afirmatif untuk bumiputera dan (mengangkat) kesamarataan, sedangkan kita tahu bumiputera masih ketinggalan,” katanya lagi.

Justeru, beliau menganggap laporan tersebut boleh menjatuhkan kewibawaan Perkasa selaku NGO yamg memperjuangkan agenda bumiputera.

Sebelum ini, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas sedang menilai PPBM sama ada sesuai dengan “jiwa perjuangannya”.

Perkasa seperti ‘gadis rebutan’

Beliau berkata kebanyakan parti politik kini saling bersaing untuk merebut sokongan Perkasa ekoran pengaruh besar NGO itu.

“Tetapi bila kita tidak mahu dikaitkan dengan parti politik, Perkasa menerima pelbagai tohmahan. Seperti seseorang yang ingin berkahwin dengan seorang wanita cantik, tetapi ditolak. Maka wanita itu ditohmah,” katanya lagi.

Beliau berkata, Perkasa hanya ingin menjadi suara dan penyatu kepada golongan Bumiputera, seperti Dong Zhong kepada masyarakat Cina dan Hindraf kepada masyarakat India.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.