
Timbalan perdana menteri, mendedahkan perkara itu pada Selasa dengan berkata, individu cenderung tertarik kepada ideologi fundamentalis bagi melarikan diri daripada masalah peribadi, kekeluargaan, atau sosial, dan bukannya kerana kepatuhan terhadap agama.
Channel News Asia (CNA) melaporkan yang Zahid memberikan contoh di mana seorang gadis berusia 14 tahun ditahan di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat, “Dia begitu tertarik dengan golongan lelaki muda, kacak, berjanggut sebagai bakal suami.”
Menteri dalam negeri itu berkata, gadis berkenaan berubah menjadi radikal melalui bahan-bahan di Internet.
“Mengapa dia terpengaruh? Ia bukan kerana kepercayaan agama … Ini kerana escapism, mereka ingin keluar dari segala masalah yang dihadapi dalam keluarga mereka, masyarakat dan majikan,” CNA memetik kata-kata Zahid.
Zahid memperkatakan hal itu semasa sesi perkongsian dari Malaysia dalam ucaptama pada Asia-Europe Counter-Terrorism Dialogue di sini pada Selasa. Dialog 2 hari itu dianjurkan S Rajaratnam School of International Studies.
Beliau berkata Malaysia berjaya memulihkan 234 orang pengikut IS yang ditahan kerana aktiviti keganasan. Zahid berkata, mereka dibebas dan dipantau dengan peranti pengawasan elektronik, menurut laporan CNA itu.
Setakat ini, polis menahan 255 orang kerana terlibat dalam aktiviti pengganas. Bercakap tentang membentangkan rang undang-undang baru bagi memulihkan kuasa penguatkuasaan keselamatan dan kecemasan kerajaan yang hilang, selepas ia dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2012, Zahid dipetik sebagai berkata:
“Saya mengambil masa kira-kira 8 jam dan 38 minit untuk membahaskan (rang undang-undang) di Parlimen. Ia adalah sangat sukar, kerana (ia dicabar) beberapa ahli Parlimen yang dianggap sebagai kononnya pejuang hak asasi manusia…Tetapi bagaimana pula dengan hak asasi mangsa (keganasan), kakitangan agensi-agensi penguatkuasaan?”