Ribuan Muslim anti gabenor berarak di Jakarta

Ribuan Muslim anti gabenor berarak di Jakarta

Penunjuk perasaan diketuai kumpulan Front Pembela Islam itu mendesak Gabenor Jakarta Basuki Tjahja Purnama, seorang penganut Kristian berbangsa Cina dipenjarakan kerana menghina Islam.

tolak-ahok
JAKARTA:
Ribuan Muslim berarak di Jakarta hari ini menuju ke istana presiden untuk mendesak peletakan jawatan gabenor kota Jakarta yang dikatakan menghina Al-Quran.

Suasana di Jakarta tegang dan beberapa syarikat mengarahkan kakitangan bekerja dari rumah, dengan akses masuk kawasan perniagaan disekat dan kedutaan digesa supaya berhati-hati.

Deretan trak mengangkut tentera dan polis, dengan ada yang dilengkapi senapang, kelihatan berkawal sementara yang lain berjaga-jaga di kawasan kompleks beli-belah.

Kira-kira 18,000 anggota keselamatan dijangka dihantar ke ibu kota yang berpopulasi 10 juta orang itu, kata polis.

Kebanyakan peserta tunjuk perasaan itu berjubah putih dan berkopiah dan berkumpul di Masjid Istiqlal di tengah ibu kota Jakarta, sebelum bergerak menuju istana presiden, dengan jumlah mereka dijangka semakin bertambah.

Penunjuk perasaan diketuai kumpulan Front Pembela Islam (FPI), mendesak Gabenor Jakarta Basuki Tjahja Purnama, seorang penganut Kristian berbangsa Cina dipenjarakan kerana menghina Islam.

Mereka berkata Basuki atau lebih popular dengan gelaran Ahok menghina Al-Quran dengan mengkritik pihak yang menggunakan sepotong ayat Al-Quran, yang ditafsirkan sesetengah pihak sebagai larangan bersekutu dengan orang Kristian dan Yahudi.

“Dia bukan Muslim tapi menghina Al-Quran,” kata seorang penunjuk perasaan Muhammad Said.

“Jangan merujuk apa-apa dengan Al-Quran, terutama jika ia disalah tafsir,” katanya.

Ahok berkhidmat sebagai timbalan kepada Presiden Joko Widodo ketika Widodo menjadi gabenor Jakarta dari 2012 hingga 2014, dan sejak itu dilihat sebagai sekutu presiden.

Joko atau Jokowi bekerja seperti biasa hari ini dengan jadualnya melawat projek pembinaan landasan di lapangan terbang, kata jurucakap presiden, Johan Budi kepada wartawan.

Johan berkata, Wiranto, menteri koordinasi untuk hal ehwal politik, undang-undang dan keselamatan, bersama setiausaha kerajaan negeri Pratikno dijangka bertemu wakil penunjuk perasaan terbabit.

Jokowi dan Naib Presiden Jusuf Kalla mendesak supaya perhimpunan bantahan itu dijalankan secara aman, dalam satu kenyataan bersama semalam dan berkata “semuanya dan semua orang patut bekerja seperti biasa”.

Polis sedang menyiasat kes terhadap Ahok, yang sudah pun memohon maaf atas kenyataan itu.

Jokowi, yang beragama Islam berjanji tidak akan campur tangan dalam prosiding jenayah terhadap Ahok, menurut Majlis Ulama Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.