
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, walaupun kerajaan mengambil maklum kebaikan sistem berkenaan, namun buat masa ini, ia dilihat belum sesuai dilaksanakan.
“Namun begitu, kerajaan kini melaksanakan waktu bekerja berperingkat bagi memberi fleksibiliti yang mana pegawai boleh memilih waktu bekerja sesuai untuk mereka.
“Waktu berkenaan ialah 7.30 pagi hingga 4.30 petang, 8 pagi hingga 5 petang dan 8.30 pagi hingga 5.30 petang,” katanya ketika menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah bertanya sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan sistem waktu kerja 6 jam sehari dan waktu bekerja anjal, khususnya bagi kakitangan awam wanita yang sudah berkeluarga.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, untuk mencapai status negara maju, produktiviti seharusnya tidak dikurangkan, seperti yang diamalkan beberapa negara maju yang masih melaksanakan sistem kerja 8 jam.
“Jepun, Britain dan Singapura, negara-negara berkenaan masih kekal melaksanakan sistem kerja lapan jam walaupun telah mencapai tahap negara maju,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Siti Zailah sama ada kerajaan bercadang menyelaraskan Jumaat sebagai cuti hujung minggu, Shahidan berkata, perkara itu terpulang kepada dasar kerajaan negeri.