Shabery nasihat Dr Mahathir jangan jadi seperti Trump

Shabery nasihat Dr Mahathir jangan jadi seperti Trump

Shabery berkata, tiada perbezaan antara Trump dan parti pembangkang.

Ahmad Shabery Cheek
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi seperti calon Presiden Amerika Syarikat penuh kontroversi, Donald Trump yang percaya semua perkara adil jika berlaku mengikut kehendaknya.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengulas dakwaan bekas perdana menteri itu yang Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berat sebelah apabila melarang semua ahli Parlimen membahaskan isu 1MDB.

Menteri pertanian dan industi asas tani itu menyamakan kenyataan Dr Mahathir dengan Trump ketika kempen presidennya yang beliau akan menerima keputusan pilihan raya, hanya jika ia memihak kepadanya.

“Jika beliau (Trump) kalah, beliau akan anggap (pilihan raya) itu penipuan. Mentaliti itu sama dengan parti pembangkang di sini.

“Tiada perbezaan antara Trump dan parti-parti pembangkang.

“(Dan) Saya tidak mahu Mahathir jadi seperti Trump. Jika perkara tidak mengikut caranya, maka ia kerana berat sebelah, tetapi jika mengikut kehendaknya, ia tidak apa,” katanya di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir ketika menghadiri mesyuarat khas dengan wakil rakyat pembangkang pagi tadi bagi membincangkan keistimewaan dan imuniti ahli Parlimen, mempertahankan kebebasan Dewan Rakyat di era beliau lebih demokratik berbanding sekarang di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, pembaharuan Parlimen yang dilakukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia nampaknya lebih teruk dan semua perbahasan mungkin dilarang sama sekali, pada masa depan.

Kenyataan itu susulan siasatan polis ke atas bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, 2 minggu lalu.

Shabery bagaimanapun membangkitkan sekatan kebebasan bersuara sepanjang 22 tahun Dr Mahathir berkuasa.

“Mahathir adalah penyokong kuat Akta Rahsia Rasmi (OSA). Malah, beliau turut membuat beberapa pindaan kepada akta itu.

“Walaupun wartawan membantah kerana mereka boleh dipenjarakan disebabkan menyiarkan kenyataan tertentu.

“Ketika itu, OSA juga terpakai kepada ahli-ahli Parlimen.

“Beliau kata semua ini sekarang ketika tiada lagi dalam kerajaan. Jadi, saya rasa ada agenda tersembunyi di sebalik kenyataan itu.”

Kebebasan Dewan Rakyat di era saya lebih baik, kata Dr Mahathir

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.