Pengamal filem mahu Kamil terus terajui Finas

Pengamal filem mahu Kamil terus terajui Finas

Setakat ini, 480 tandatangan diterima bagi menyokong Kamil kekal memimpin Finas.

National Film Development Corporation (Finas)
PETALING JAYA: Pengamal industri filem tempatan menggesa menteri komunikasi dan multimedia mencampur tangan bagi memastikan Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman menyambung khidmatnya sebagai ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Bagi menterjemahkan sokongan kepada Kamil, kumpulan yang terdiri daripada “penerbit, pengarah, pelakon dan ahli-ahli industri filem Malaysia” memuat naik petisyen sokongan mengekalkan Kamil menerajui Finas.

Sehingga kini, 480 tandatangan diterima menerusi undian dalam talian ipetitions.com bermula Ahad lalu, malah mereka menyasarkan 1,000 tandatangan diperolehi.

“Kami ingin memartabatkan Finas sebagai sebuah nama yang dinaung, dihormat dan disanjungi sebagaimana Korean Film Council, Screen Australia, Film France dan British Film Commission yang dikenali di persada dunia perfileman.

“Kami percaya Kamil adalah orang yang tepat, betul dan cekap dalam melaksanakan impian dunia perfileman Malaysia,” kata kumpulan itu di laman petisyen berkenaan.

Kamil dilantik sebagai ketua pengarah Finas pada November 2014 dan penggalnya akan berakhir bulan ini.

Kumpulan itu berkata, di bawah pimpinan Kamil menerajui Finas, pelbagai perubahan sudah dilakukan untuk mengangkat industri filem negara ke persada antarabangsa.

“Sejak Kamil memegang jawatan naib presiden Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), beliau terbukti berupaya mengindustrikan sektor animasi Malaysia di pentas dunia.

“Ini juga termasuk penubuhan Sabah Animation Creative Content Centre (SAC3) yang dalam masa singkat, membentuk pelajar mampu menghasilkan karya animasi bermutu.

“Industri kandungan dan masa depan dunia perfileman Malaysia memerlukan kepimpinan teknikal berbudaya domestik dan juga antarabangsa bagi mengukir ruang cukup relevan untuk Malaysia,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.