
Kedua-dua mereka sebelum ini tidak pernah bertemu secara langsung.
Trump sebelum ini mengetuai pergerakan yang mempertikaikan tempat lahir Obama malah mempersoalkan taraf kewarganegaraan presiden kulit hitam pertama AS itu.
Pada pilihan raya yang baru berlalu, Obama berkempen keras menentang Trump dan menyebelahi calon Demokrat, Hillary Clinton.
Obama pernah menganggap Trump bukan personaliti yang layak untuk jawatan presiden dan tidak boleh diberi akses kepada kod senjata nuklear kuasa besar itu.
Tetapi dalam pertemuan pertama mereka lebih 90 minit, Obama dan Trump dilihat bertukar kata-kata yang jauh berlawanan daripada ucapan mereka sewaktu kempen.
Isteri Trump, Melania, turut mengadakan pertemuan dengan Wanita Pertama Michelle Obama.
Bercakap kepada wartawan selepas pertemuan itu, Obama berkata beliau akan berusaha memastikan peralihan kuasa yang licin dalam tempoh 2 bulan akan datang.
“Kami akan lakukan apa yang terdaya supaya kamu berjaya, kerana sekiranya kamu berjaya, negara akan turut berjaya,” kata Obama.
Pertemuan mesra di White House itu bagaimanapun berbeza dengan reaksi di beberapa bandar raya, di mana demonstrasi membantah Trump diadakan.
Di Hollywood, penunjuk perasaan berarak di sepanjang lebuh raya 101 Freeway , manakala beberapa kerosakan harta benda turut dilaporkan di Los Angeles.