
Kini, ramai wartawan berdepan kemungkinan meninggalkan bidang mereka lantaran masalah yang melanda beberapa organisasi media sama ada media baharu mahupun tradisi.
Bekas wartawan yang hanya mahu dikenali sebagai Diana bertugas di The Malaysian Insider (TMI) sebelum portal itu ditutup pemiliknya, The Edge Media Group, pada Mac tahun ini.
Bercakap kepada FMT, Diana berkata dia kini mencuba arena perhubungan awam selepas mencuba nasib dalam bidang perniagaan.
Katanya, sukar mencari kerja di organisasi media yang kebanyakannya membekukan pengambilan pekerja. Malah, pengalamannya pernah bekerja di portal berita yang dianggap “mesra pembangkang” juga tidak membantu peluangnya.
Diana bagaimanapun berkata beliau bernasib baik kerana masih tinggal bersama ibu bapanya, dan ini membantunya berjimat dan membayar kos bulanan lain seperti pinjaman pembelian kereta.
Ikram Ismail, 36, yang pernah bertugas untuk Harian Metro dan Malay Mail, sepatutnya menyertai TMI apabila portal itu henti beroperasi pada 15 Mac.
“Saya meninggalkan bidang ini untuk menceburi sektor korporat,” katanya. “Bila saya mahu kembali, TMI tutup pula.”
Pengalaman 5 tahun dalam bidang pemberitaan tidak membantu Ikram mendapatkan kerja dengan mana-mana outlet media.
Beliau mencuba kerja “freelance” namun bayarannya tidak mencukupi untuk tanggungan bil. Malah, klien sering menunda pembayaran upah.
“Saya rindu bidang pemberitaan dan pendapatan yang tetap,” kata Ikram, kini seorang pembantu peribadi dan pemandu.
Shaun Low, 24, hanya setahun berkhidmat di portal TMI, dan penutupannya adalah tamparan terhadap cita-cita menjadi seorang wartawan.
“Saya cari kekosongan di sana sini tapi tak bernasib baik,” katanya. “Mungkin lebih sukar untuk saya kerana ramai lagi yang jauh lebih berpengalaman.”
Low, seperti bekas wartawan lain yang bercakap kepada FMT, mengais mata pencarian dengan memandu untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber sepenuh masa.
“Lepaslah untuk bayar ansuran kereta dan bil lain,” katanya. “Menyimpan memang tak bolehlah.”
Selain TMI, beberapa portal berita lain juga ditutup atau memberhentikan kakitangan, atas sebab pembiayaan.
Pada September, New Straits Times Press milik Media Prima Berhad yang rapat dengan Umno, dilaporkan bersiap sedia menutup 2 kilang percetakan miliknya, di sebalik penurunan jumlah pembaca dan spekulasi ia mahu menjadi media digital sepenuhnya.