Jais pantau kefahaman umat Islam terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah

Jais pantau kefahaman umat Islam terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah

Tinjauan Jais itu dikritik kerana terlalu ringkas dan menyempitkan makna Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Datuk-Dr-Ahmad-Yunus-Hairi.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang meninjau sejauh mana kefahaman umat Islam di negeri itu terhadap aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), kata exco hal ehwal agama Islam, adat Melayu dan warisan, pembangunan desa Dan kampung tradisi negeri.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dapatan daripada tinjauan itu akan dijadikan rujukan dalam usaha Jais memantapkan kefahaman tersebut di setiap peringkat masyarakat.

“Di Selangor, kita berdepan pelbagai fahaman yang kita istilahkan ‘sesat’. Kita tidak mahu (ia terus tersebar).

“Jadi, tinjauan ini untuk melihat secara rambang tahap kefahaman umat Islam tentang ASWJ. Kemudian kita boleh rangka strategi pengukuhan yang sesuai, misalnya peringkat umur yang perlu diberi keutamaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

7 November lalu, Yunus memuat naik tinjauan bertajuk “Borang Kaji Selidik Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Di Kalangan Umat Islam Di Negeri Selangor” ke akaun Facebooknya.

Tinjauan yang dilakukan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jais itu mengandungi 11 soalan dalam 2 bahagian; maklumat peribadi seperti umur dan tahap pendidikan, serta pengetahuan asas ASWJ, iaitu sama ada responden tahu tentang aliran itu dan sumber rujukan mereka.

Ada pengguna Facebook mengkritik soalan tinjauan itu terlalu ringkas dan menyempitkan makna ASWJ, khasnya berdasarkan 2 aliran, iaitu Asya’irah dan Maturidiyah.

Menjawab kritikan itu, Adun Sijangkang berkata, soalan itu dirangka tidak terperinci kerana tinjauan berkenaan bertujuan melihat kefahaman umat Islam “secara rambang”.

“Kita nak dapatkan sebanyak mungkin respons. Kalau terlalu terperinci (mungkin sukar).”

Beliau berkata, Jais akan melihat sejauh mana sambutan orang ramai terhadap tinjauan itu di media sosial, sebelum melaksanakannya di peringkat akar umbi.

ASWJ merupakan aliran rasmi Islam di Selangor, dengan aliran lain seperti Syiah dan Ahmadiah difatwakan sebagai ‘sesat’ dan dilarang disebar dan diamalkan.

Sebelum ini, beberapa majlis anjuran pengikut Syiah di Selangor diserbu, termasuk majlis sambutan Asyura yang disertai 32 warga Pakistan di Batu Caves, 11 Oktober lalu.

FMT sedang berusaha mendapatkan respons Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jais berhubung tinjauan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.