Saya tidak mahu jadi orang tamak jawatan, kata Annuar

Saya tidak mahu jadi orang tamak jawatan, kata Annuar

Annuar berkata, jika calon baharu yang mengambil alih KAFA tiada keserasian, beliau sedia untuk kembali menerajui The Red Warriors.

Annuar-Musa
KUANTAN: Tan Sri Annuar Musa tetap dengan pendiriannya meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk memberi laluan kepada individu lebih layak menerajui persatuan itu.

Katanya, beliau tidak mahu menjadi seorang yang tamak jawatan selepas merasakan dirinya tidak lagi mampu menguruskan KAFA.

Bagaimanapun, beliau yakin ada ramai anak Kelantan yang berjaya boleh membawa pasukan bola sepak negeri itu ke peringkat lebih cemerlang.

“Ini bukan bermakna saya merajuk dengan sesiapa atau tidak akan membantu KAFA, selepas tidak memegang jawatan presiden. Saya tetap akan membantu setakat mana mampu.

“Kita tengok dulu apabila calon baharu ambil alih KAFA…jika tidak ada keserasian, saya tidak ada masalah untuk kembali semula kepada KAFA,” katanya.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno berkata demikian selepas pertemuan dengan kepimpinan akar umbi Umno peringkat negeri hari ini yang turut dihadiri Ketua Penerangan Umno Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau mengulas laporan media hari ini yang menyatakan barisan exco KAFA terus mendesak beliau menarik balik hasratnya meletak jawatan presiden seperti mana diumumkannya Selasa lalu.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah dipetik sebagai berkata, Annuar masih kekal menerajui persatuan itu selepas surat peletakan jawatannya ditolak sebulat suara oleh exco KAFA yang bermesyuarat Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau tidak perlu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Jawatankuasa Pengurusan KAFA kerana jawatan itu bukan dilantik jawatankuasa tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu, saya rasa tidak perlu mengemukakan hasrat (letak jawatan) saya ini kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan KAFA, sebaliknya cuma memaklumkan kepada setiausaha agung KAFA sahaja,” katanya.

Beliau mengakui ada wakil KAFA datang berjumpa dengannya semalam bagi membincangkan perkara itu dan beliau akan melihat semula prosedur peletakan jawatan itu.

Annuar Musa letak jawatan presiden KAFA

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.