3 ditahan, Rohingya tunjuk kemarahan di Kedutaan Myanmar

myanmar

KUALA LUMPUR: Tiga individu ditahan ketika menyertai himpunan membantah kezaliman Myanmar ke atas etnik Rohingya di hadapan kedutaan negara itu di Jalan Ampang Hilir, selepas solat Jumaat.

Kira-kira 1,000 orang menyertai himpunan itu, kebanyakannya terdiri daripada etnik Rohingya berarak sejauh 1km dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke Kedutaan Myanmar.

Perarakan sedikit tidak terkawal pada mulanya, ketika peserta “merempuh” Jalan Tun Razak yang sesak, tetapi ia terkawal selepas mereka menghampiri sekatan polis, kira-kira 100m dari Kedutaan Myanmar.

Seorang daripada peserta itu berjaya melepasi sekatan polis, kira-kira 100m dari bangunan kedutaan dan mengikut beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada wakil duta.

“Keluarga saya dibunuh, dirogol,” jeritnya berulang kali sebelum ditahan dan dimasukkan ke trak polis.

Beliau yang tidak berpuas hati terus meluahkan kemarahan dengan menjerit “di sini negara (ramai orang Islam), tolong kami” sambil menghantuk kepalanya ke dinding trak berulang kali.

Bagi mengelakkan timbul kekecohan, polis turut menahan 2 lagi peserta etnik Rohingya.

Etnik Rohingya beragama Islam yang tinggal di Rakhine, Myanmar sekian lama ditindas kerajaan negara itu dan tidak diiktiraf sebagai warganegara.

Menurut laporan AFP pada Isnin lalu, sebanyak 1,000 rumah dibakar dalam operasi tentera di Rakhine yang meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa dan menyebabkan 30,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan kira-kira 25,000 etnik Rohingya terperangkap di tengah lautan pada awal 2015, selepas mereka melarikan diri dengan menaiki bot untuk mencari perlindungan di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Seorang lagi etnik Rohingya, Rafiq Ismail, 49, mendakwa 17 ahli keluarganya dibunuh tentera Myanmar.

“Saya tak dapat cari mereka, akhirnya dapat tahu mereka dibunuh tentera yang zalim. Kami ini tiada nilai dan diperlakukan seperti semut. Kami tiada apa-apa senjata dan hanya mahukan keamanan,” katanya.

Himpunan hari ini turut disertai PAS dan beberapa NGO, termasuk gerakan Baju Merah dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, DSP Ramli Kasa berkata, sebanyak 5 memorandum diserahkan NGO kepada Kedutaan Myanmar.

“Kira-kira 40 anggota dan 7 pegawai polis diturunkan untuk berkawal. Keadaan keseluruhan aman dan kita menahan 3 individu yang dilihat boleh menimbulkan kekecohan,” katanya ketika ditemui di lokasi himpunan.