
Menerusi temuramah dengan 15 pekerja Nepal, akhbar itu mendedahkan gaji mereka tidak dibayar pada masanya, dipotong dan pasport mereka dirampas.
Menurut The Guardian, sebuah syarikat pembekal buruh mengenakan yuran tambahan ke atas pekerja dan menipu mereka mengenai gaji, termasuk memotong sebanyak 25% daripada gaji pokok untuk membayar levi pekerja asing.
“Kami tidak ada wang untuk makan kerana tidak dibayar secara tetap,” kata seorang pekerja McDonald’s.
Akhbar itu turut melaporkan beberapa pekerja mengadakan mogok awal tahun ini atas kelewatan pembayaran gaji.
“Bagaimana hendak bekerja dalam keadaan lapar? Saya sangka ia sebuah syarikat yang baik dan saya boleh mendapat wang. Kini hidup saya rosak. Saya tidak ada masa depan,” katanya.
Sementara itu, McDonald’s Malaysia berkata ia sudah pun menamatkan kontrak dengan sebuah syarikat pembekal tenaga buruh.
“Kebajikan staf kami diutamakan,” ia memberitahu The Guardian, sambil menambah syarikat itu sedar akan tindakan pembekal tenaga buruh itu yang melanggari undang-undang lalu menamatkan kontrak dengannya.
The Guardian sebelum ini mendedahkan nasib sama dialami pekerja kilang elektronik Samsung dan Panasonic di Malaysia.
Akhbar itu menemuramah pekerja Nepal dan mendapati mereka dipaksa bekerja 14 jam sehari untuk membayar ejen pekerjaan di Nepal, ada yang berjumlah Rs115,000 (RM4,570), 10 kali ganda lebih tinggi daripada had yuran pengambilan RM400 yang ditetapkan kerajaan Nepal, tahun lalu.
Mereka berkata tiada pilihan kecuali meneruskan pekerjaan bagi membayar hutang, walaupun hanya dibayar RM700, separuh daripada gaji minimum yang ditetapkan Putrajaya.
“Kami rasa teruk kerana kami ada pinjaman besar untuk dibayar. Anda perlu kerja 3 tahun bagi membayarnya,” kata seorang pekerja di sebuah kilang di Johor Bahru.
The Guardian turut menyifatkan asrama pekerja asing itu penuh sesak dengan “14 lelaki dimuatkan dalam sebuah bilik berkulat”.
“Mereka berkongsi sebuah tandas rosak dan 2 bilik mandi yang disambung terus ke dapur dengan sebuah dapur gas,” menurut laporan itu.
Kedua-dua syarikat berkata dakwaan itu sedang disiasat dan tidak akan bertolak ansur terhadap pelanggaran hak asasi pekerja.
Samsung, Panasonic siasat dakwaan eksploitasi pekerja di Malaysia