
Bekas pensyarah pengajian Asean, Datuk Dr Leonard De Vries berkata, setiap negara Asia Tenggara melihat isu di Laut China Selatan dengan semangat nasionalistik, sedangkan mereka sepatutnya menangani isu berkenaan melalui sisi pandang serantau.
“China tentu gembira untuk berbincang dengan negara Asean secara individu. Ia bermula dengan Filipina apabila Presiden Rodrigo Duterte yang bodoh itu berunding dengan China hanya kerana beliau anti-Amerika.
“Sedangkan Asean sepatutnya berunding dengan China berhubung isu Laut China Selatan sebagai satu entiti. Tetapi, masalah tidak berkesudahan kita adalah tiada negara yang mampu melihat isu ini dari sisi pandang serantau,” katanya ketika dihubungi FMT.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa semua negara Asean bersatu menghadapi kuasa besar dunia bagi mengelakkan mereka campur tangan dan menentukan keadaan di rantau Asia Tenggara.
“Jika keseorangan, mungkin kita tidak mampu berdepan mereka. Tetapi sebagai gandingan 10 negara Asean, saya yakin China pun tidak boleh ambil mudah dan menidakkan pendirian kita,” kata Hishammuddin.
De Vries berkata, Asia Tenggara kini menjadi tumpuan kuasa dunia dalam persaingan pengaruh, apabila Beijing dan Washington mula mengorak langkah, manakala Rusia, Jepun dan Korea Selatan turut menunjukkan minat masing-masing.
“Asia Tenggara adalah kunci dan masa depan. Maka lebih penting untuk negara Asia Tenggara melihat kepada perspektif serantau,” katanya yang pernah mengisytiharkan diri “warga Asean”.
Laut China Selatan menjadi perebutan China bersama beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Kepulauan Spratly.
Selain Malaysia dan China, Filipina, Vietnam, Brunei serta Taiwan juga menuntut Kepulauan Spratly.
Kebimbangan timbul apabila Beijing membina 7 pulau buatan di kawasan pertikaian dengan menempatkan tentera laut mereka di sana.
CNN pada 15 Disember lalu menyiarkan imej satelit dikeluarkan Asia Maritime Transparency Initiative yang menunjukkan China mungkin memasang sistem senjata, termasuk senjata anti-pesawat dan anti-misil di semua pulau itu.
Sebelum ini, kapal perang China merampas “drone dasar laut” milik Amerika Syarikat di kawasan itu yang didakwanya mengintip mereka.
Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, tuntutan bertindih antara beberapa negara Asia Tenggara di Kepulauan Spratly menyukarkan lagi penyatuan 10 negara Asean.
Katanya, kepentingan ekonomi dan politik negara Asia Tenggara turut bergantung kepada kuasa dunia, seperti Singapura dengan Amerika dan Filipina yang cuba berbaik dengan China.
“China memang punya polisi yang jelas dan bermatlamat, iaitu meluaskan pengaruh dan menambah negara sekutu, sedangkan negara Asean dengan pertimbangan politik dan ekonomi masing-masing.
“Ini akan sentiasa membuatkan Asean terdedah kepada mainan dan manipulasi kuasa luar, termasuk China, yang menunggu masa untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai medan mereka.”
Hishammuddin: Asean perlu bersatu elak diambil mudah kuasa besar