Perladangan punca lebih separuh hutan Borneo ditebang

Perladangan punca lebih separuh hutan Borneo ditebang

Perladangan yang beroperasi di Borneo di kedua-dua bahagian Malaysia dan Indonesia dikritik kerana aktiviti pembersihan hutan itu juga menjejaskan habitat hidupan liar termasuk orang utan.

David-Gaveau
KUALA LUMPUR:
Syarikat minyak kelapa sawit dan kayu pulpa bertanggungjawab terhadap lebih separuh penebangan hutan di Borneo, kata saintis alam sekitar dalam satu temu bual.

David Gaveau dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) yang berpangkalan di Indonesia, menggunakan imej satelit dan data mengenai aktiviti itu dalam tempoh lebih 4 dekad untuk menunjukkan bagaimana cepatnya kawasan hutan yang ditebang ditukar menjadi perladangan industri di Borneo.

“Lebih cepat penukaran kawasan itu, lebih pantas hutan ditebang oleh syarikat perladangan,” katanya dalam temu bual pada Isnin.

Hanya separuh daripada Borneo – yang dikongsi Brunei, Malaysia dan Indonesia – kini masih kawasan hutan berbanding 76% pada 1973, kata Gaveau.

Penemuan Gaveau dan ahli kumpulannya itu akan mengundang kritikan terhadap industri minyak sawit, yang berdepan kutukan kerana aktiviti pembersihan hutan menggunakan kaedah pembakaran hingga menyebabkan jerebu merentasi Asia Tenggara setiap tahun.

Malaysia dan negara jirannya Indonesia ialah 2 pengeluar minyak sawit terbesar dunia, minyak yang digunakan untuk hampir semuanya, daripada makanan hingga sabun. Kedua-dua negara itu juga pengeluar balak terbesar.

Perladangan yang beroperasi di Borneo di kedua-dua bahagian Malaysia dan Indonesia dikritik kerana aktiviti pembersihan hutan itu juga menjejaskan habitat hidupan liar termasuk orang utan.

“Apa yang boleh dikatakan ialah industri minyak sawit sering menjadi punca utama pembersihan hutan.

“Tetapi kaitan antara perladangan dan penebangan hutan lebih ketara di Borneo Malaysia,” katanya.

Malaysia hilang 4.2 juta hektar atau 28% daripada hutannya di Borneo bagi tempoh antara 1973 dan 2015, dan sehingga 60% kawasan hutan yang dibersihkan itu ditukar secara besar-besaran kepada perladangan.

Pada hujung 2015, Malaysia mempunyai kira-kira 10.8 juta hektar hutan yang masih belum diteroka di Borneo, katanya.

Tetapi di Kalimantan, di bahagian Indonesia, hanya kira-kira 16% tanah dibersihkan dan ditukar kepada perladangan.

“Kebanyakan perladangan di Kalimantan dibangunkan di tanah yang sudah pun dibersihkan lebih awal atau di kawasan hutan yang pernah terbakar akibat kemarau.

“Tetapi perladangan di bahagian Malaysia selalu diluaskan lagi hingga ke kawasan hutan dan kerap berlaku sejak 40 tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya perladangan kelapa sawit Indonesia sedang menyaingi Malaysia, membersihkan hutan di Borneo dari 2005, susulan pertumbuhan pesat pasaran minyak sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.