
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata berdasarkan laporan yang diterima setakat 7 pagi ini, status pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terlibat selesai 100% bagi zon 1 dan 99.5% bagi zon 2.
“Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor yang berusaha gigih sepanjang waktu menyegerakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terjejas dengan pantas.
“Keselesaan pengguna air keutamaan kerajaan negeri khususnya sewaktu musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azmin dalam pada itu berkata kerajaan negeri tetap akan terus memantau keadaan bagi memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi untuk pengguna di Lembah Klang.
Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan berkata bekalan air di hampir semua kawasan yang terganggu akibat kerja penyelenggaraan itu pulih kecuali di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka Sari, Klang, setakat 7 pagi tadi.
Menurutnya, semua kawasan di zon 1 dan zon 2 Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mencapai status pemulihan 100% kecuali zon 2 Klang sebanyak 96%.
“Segala usaha sedang ditumpukan untuk memulihkan bekalan air di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka Sari di Klang. Bagi 2 kawasan ini, pemulihan sepenuhnya dijangkakan menjelang lewat petang ini,” menurut kenyataan itu.