PBB: Amerika Syarikat semalam memberi laluan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menuntut Israel menghentikan penempatan haram.
Tindakan itu mengingkari tekanan daripada bakal Presiden Donald Trump, Israel dan beberapa wakil rakyat AS yang mahu Washington menggunakan kuasa veto.
Sikap berkecuali AS memberi laluan kepada badan 15 anggota itu untuk meluluskan resolusi tersebut, yang disokong 14 undi, dan mendapat tepukan gemuruh daripada majlis.
“Israel menolak resolusi anti-Israel yang memalukan ini di PBB dan tidak akan mematuhinya,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang mengalakkan perluasan penempatan Yahudi di tanah yang ditawan Israel dalam perang 1967.
Pentadbiran Presiden AS Barack Obama mengorak langkah berbeza daripada amalan melindungi Israel, sekutu Washington yang menerima bantuan ketentereaan lebih AS$3 bilion setahun. Amerika Syarikat, bersama Rusia, Perancis, Britain dan China mempunyai kuasa veto dalam majlis itu.
Resoluti diusulkan New Zealand, Malaysia, Venezuela dan Senegal sehari selepas Mesir menarik usul atas tekanan Israel dan Trump. Ia merupakan usul Israel-Palestin yang pertama diluluskan majlis itu sejak hampir 8 tahun lalu.
Sikap berkecuali AS dilihat sebagai kata-kata tajam oleh Barack Obama, yang mempunyai hubungan sengit dengan Netanyahu apabila usaha perjanjian damai berasaskan kepada penyelesaian 2 negara untuk mewujudkan negara Palestin disamping negara Israel menemui kegagalan.
Pentadbiran Obama menegaskan pembinaan penempatan Israel menjejaskan peluang perdamaian.
Israel dan Trump menggesa pentadbiran Obama supaya memveto resolusi itu. Selepas pengundian, Trump memberitahu PBB melalui Twitter bahawa keadaan akan berubah selepas 20 Januari nanti, tarikh beliau menggantikan Obama.
Rakyat Palestin mahukan sebuah negara merdeka di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmadqis Timur.
Resolusi itu menuntut Israel “menghentikan semua aktiviti penempatan di wilayah Palestin yang diduduki dengan segara dan sepenuhnya, termasuk di Baitulmaqdis Timur” dan menegaskan penempatan itu “tidak sah di sisi undang-undang dan mencabul undang-undang antarabangsa.”
Selepas pengundian, Rumah Putih mempertahankan sikap berkecuali AS, dengan berkata Obama mengambil keputusan untuk berkecuali kerana tiada usaha mencari perdamaian.
Mengecam dasar penempatan Israel, Rumah Putih berkata Israel sudah diberi amaran berulang kali bahawa kegiatan penempatan itu hanya menyebabkan Israel semakin dipulaukan masyarakat antarabangsa.
Duta AS ke PBB, Samantha Power berkata AS tidak menggunakan veto kerana resolusi itu “mencerminkan fakta di lapangan dan konsisten dengan dasar AS yang merentasi pentadbiran Republikan dan Demokrat.”
Sementara itu di lapangan, resolusi itu tidak mengubah keadaan antara Israel dan Palestin serta terdapat kemungkinan ia akan diabaikan oleh pentadbiran Trump.
Tetapi ia bukan sekadar simbolik. Resolusi itu secara rasmi menyemadikan bantahan masyarakat antarabangsa terhadap penempatan Israel dan akan mengalakkan langkah Palestin seterusnya di wadah antarabangsa.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, mengecam resolusi itu sebagai memalukan, dan menambah pihaknya yakin pentadbiran Trump dan pengganti Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon, bekas perdana menteri Portugal, Antonio Guterres, “akan membawa era baru hubungan antara PBB dan Israel.”
Senator AS Lindsey Graham, yang mengetuai jawatankuasa kecil Senat AS yang menyelia dana AS untuk PBB, mengancam akan menarik sokongan kewangan kepada badan dunia itu.
Kali terakhir majllis meluluskan resolusi terhadap penempatan Israel adalah pada 1979, juga diberi laluan oleh AS. Ia kemudian meluluskan resolusi mengecam penempatan itu “tidak sah di sisi undang-undang dan menghalang perdamaian yang kekal, menyeluruh dan adil di Timur Tengah.”