Pemaju jangka nilai hartanah sekitar MRT naik sehingga 30%

Pemaju jangka nilai hartanah sekitar MRT naik sehingga 30%

Projek MRT memberi kesan paling ketara terutama kawasan yang berada dalam lingkungan radius 1km dari stesen MRT.

Datuk-Seri-Lim-Keng-Cheng
KUALA LUMPUR:
Kewujudan projek MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) bagaikan “durian runtuh” kepada pemilik hartanah apabila nilai hartanah di sekitarnya meningkat antara 10% hingga 30%.

Gambaran peningkatan nilai hartanah itu diberikan pemilik, pemaju dan portal hartanah kepada Bernama dalam temu ramah baru-baru ini.

Pemaju hartanah, Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, projek MRT itu memberi kesan paling ketara terutama kawasan yang berada dalam lingkungan radius 1km dari stesen MRT.

“Nilai hartanah di kawasan itu boleh meningkat sehingga 30%,” katanya yang mengendalikan perniagaan pembinaan, pembangunan hartanah dan konsesi prasarana.

Beliau berkata, projek MRT itu memberi kelebihan dan ruang kepada pelabur untuk menjalankan projek besar seperti pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang memberi kemudahan kepada orang awam untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Selain menguntungkan pemaju, ia juga memberi manfaat kepada pemilik aset kerana pembangunan di sekitar MRT tetap menjadi rebutan masyarakat untuk didiami disebabkan ia lebih mudah diakses,” katanya.

Fasa pertama Laluan MRT SBK yang dibangunkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) itu memulakan operasinya pada 16 Disember lalu bagi laluan Sungai Buloh ke Semantan dengan 12 stesen sejauh 21km.

Projek Jajaran MRT SBK bernilai RM23 bilion sejauh 51km berserta 31 stesen itu disasar beroperasi sepenuhnya menjelang Julai tahun depan.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun fasa II MRT SBK melibatkan laluan dari Semantan ke Kajang giat dilaksanakan dan dijangka siap Julai tahun depan, pembangunan lain di sekitar projek fasa II itu turut rancak membangun.

Lim berkata, syarikatnya sedang melaksanakan pembangunan integrasi melibatkan pembangunan sebuah hotel, 1,500 unit pangsapuri serta pusat beli-belah di Cheras dan apabila siap, ia boleh berhubung terus dengan stesen MRT Taman Mutiara yang terlibat dalam fasa II MRT SBK.

“Meskipun harga bagi setiap unit rumah itu tinggi, iaitu antara RM500,000 hingga RM1 juta, semua ini sudah pun habis dijual…ini menunjukkan masih terdapat permintaan tinggi daripada pembeli,” kata Lim.

Pengurus portal hartanah, Sheldon Fernandes pula berkata, Indeks Harga Hartanah portalnya menunjukkan nilai hartanah di sekitar jajaran MRT sudah mengalami aliran peningkatan lebih 10% sejak tahun lalu.

“Jika anda lihat pada Glomac Damansara Residences, purata harga transaksi meningkat kepada 7 sehingga 10% tahun ini berbanding 2015, walaupun dalam keadaan kelembapan pasaran hartanah.

“Selain itu, Plaza Condominium di Taman Tun Dr Ismail menyaksikan sedikit peningkatan 10% ke atas antara tahun ini dan 2015.

“Hartanah yang berada di antara 2 stesen (2 MRT atau 1 MRT dan LRT/Komuter) mungkin mengalami lebih banyak peningkatan berbanding tempat lain kerana orang ramai mahukan perhubungan. Jadi, faktor sambungan bersepadu juga adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan, bukan hanya jajaran MRT,” katanya.

Sheldon berkata, situasi ini juga memberi laluan kepada pertumbuhan dalam pasaran sewa yang merupakan alternatif kepada pemilik hartanah.

Sementara itu, Penyelaras Jabatan Bandar dan Perancang Wilayah Universiti Malaya, Dr Nikmatul Adha Nordin berkata, kawasan yang dijangka mengalami peningkatan harga hartanah paling ketara ialah Kota Damansara, Taman Tun Dr Ismail dan Sungai Buloh.

“Berdasarkan pengalaman pembangunan LRT, nilai hartanah di kawasan berdekatan stesen akan meningkat sebanyak 15 hingga 20%…situasi ini mampu menarik pasaran lebih besar, sekali gus merancakkan aktiviti komersial dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau menjangkakan akan wujud kawasan penempatan baharu di kawasan berhampiran MRT, selagi ada ruang untuk aktiviti pembangunan.

Bagaimanapun, Nikmatul Adha bimbang nilai sewa yang lazimnya selari peningkatan nilai hartanah mungkin menjejaskan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam mencari perumahan mampu disewa.

Tinjauan Bernama ke beberapa kawasan perumahan di sekitar stesen MRT SBK mendapati rata-rata penduduk yang ditemui mengaku turut terkesan apabila harga rumah dan sewa meningkat secara mendadak sejak projek MRT memulakan operasinya.

Penduduk di Kondominium Pelangi Damansara, Zaitun Mohamad, 37, bersyukur kerana beliau membeli rumah tersebut pada 2008 dengan harga murah berbanding harga ditawarkan sekarang.

“Dulu masa beli rumah ini hanya RM127,000, sekarang sejak ada MRT ia dijual pada harga RM320,000 dan ke atas, saya rasa harga ini akan terus meningkat,” kata peniaga nasi lemak dan pisang goreng itu.

Bagi pemandu bas yang menyewa di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Abang Ismail Ahmad Ibrahim, 32, mengeluh kerana dikenakan sewa terlalu tinggi di kawasan perumahanberdekatan MRT.

“Pada 2006, sewa hanya RM380, kemudian ia terus naik sehingga mencecah RM780 sekarang…itu pun rumah yang ada 1 bilik dan 1 bilik air,” kata anak kelahiran Sarawak yang tinggal di Semenanjung sejak 1998 itu.

MRT merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menambah baik sistem pengangkutan awam yang berintegrasi dengan 3 lagi sistem hubungan rel iaitu LRT, KTM Komuter and KL Monorel.

Harga hartanah di laluan MRT dijangka naik, kata pakar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.