Gelandangan rogol anak dipenjara 232 tahun, 110 sebatan

sebat-penjaraKUALA LUMPUR: Seorang gelandangan berusia 38 tahun dijatuhkan hukuman penjara 232 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya berusia 16 tahun.

Hakim Datin M Kunasundari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas 11 pertuduhan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya itu antara 27 Ogos hingga 7 September lalu, yang akan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lalu.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya akan menjalani hukuman penjara 80 tahun kerana sebahagian daripada hukuman itu diarahkan berjalan serentak.

Semua pertuduhan dibahagikan kepada 4 fail berasingan, di mana 3 fail pertama masing-masing mengandungi 3 pertuduhan rogol yang dilakukan antara 27 dan 29 Ogos; 30 Ogos dan 2 September serta dari 3 hingga 5 September.

Fail ke-4 pula mempunyai 2 pertuduhan rogol dan 1 pertuduhan seks oral yang dilakukan antara 28 Ogos dan 7 September lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lorong Haji Taib.

Kunasundari menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan ke atas lelaki itu bagi setiap kesalahan rogol dalam 3 fail pertama yang berjumlah 180 tahun penjara dan 90 sebatan atas 9 pertuduhan rogol.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan di setiap fail berjalan serentak, menjadikan hanya 20 tahun penjara bagi 3 pertuduhan rogol yang bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 60 tahun penjara bagi 9 pertuduhan dalam 3 fail tersebut.

Untuk 3 lagi pertuduhan dalam fail ke-4, Kunasundari menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan 12 tahun penjara kerana melakukan seks oral, juga dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan di bawah fail itu, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 52 tahun, tetapi diperintahkan menjalani hukuman itu serentak, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 20 tahun penjara untuk 3 pertuduhan.

Secara keseluruhannya, tertuduh akan menjalani hukuman penjara 80 tahun dan 110 sebatan.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan seks oral, lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Kunasundari dalam penghakimannya berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan keji.

“Tertuduh diamanahkan sebagai bapa yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada mangsa, tetapi menjadi pemusnah terhadap masa depan mangsanya. Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma dihadapi mangsa.

“Mahkamah tidak dapat memaafkan kesalahan tertuduh dan berharap perkara dilakukan tertuduh tidak dilakukan mana-mana bapa di dunia ini,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman penjara dan sebat yang ringan kerana dia sudah insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji akan menjadi orang yang baik.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat kerana kejadian berlaku setiap hari sejak anak kandungnya datang ke Kuala Lumpur.

“Mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian, tetapi cita-citanya hancur disebabkan perbuatan tertuduh,” katanya.